Pelajar cemerlang anak asnaf MAIM dirai

Pelajar cemerlang anak asnaf MAIM dirai

SEMUA pelajar cemerlang yang diraikan bergambar kenangan.

AYER KEROH 25 Okt. – Seramai 424 anak-anak penerima bantuan asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan 2018 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Anak Harapan MAIM 2018M/1440H, Rabu lalu.

Majlis yang diadakan di Dewan Besar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Yaakub Md. Amin.

Pelajar berkenaan merupakan pelajar yang telah menduduki peperiksaan Ujian Penialian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Mereka yang terpilih telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Setiap pelajar menerima wang tunai, sijil penghargaan dan plak iringan.

Berucap di majlis itu, Yaakub berharap majlis ini merupakan penghargaan kepada setiap pelajar yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Tegasnya, setiap pelajar perlu menjadikan ilmu diperolehi mampu menjadikan mereka insan yang berjaya di dunia dan akhirat serta dapat membantu keluarga apabila mereka berjaya menuntut ilmu hingga ke menara gading.

“Usaha dilaksanakan pihak MAIM menyediakan pelbagai program termasuk mengadakan kursus dan seminar motivasi berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang.

“Pelajar perlu bersyukur dengan segala kemudahan yang disediakan dalam usaha menjadikan mereka insan berjaya dalam bidang akedemik mahupun ilmu akhirat.” katanya.

Yaakob turut mengingatkan ibu bapa penerima bantuan asnaf MAIM agar sentiasa memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya serta mendapat didikan agama yang kukuh.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail dan Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Rizalman Syed.

CATEGORIES