Para SUKMA XIX Perak 2018 : Muhammed Johar cipta sejarah

Para SUKMA XIX Perak 2018 : Muhammed Johar cipta sejarah

PENYERTAAN kali pertama dalam acara catur Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX di Perak 2018 membuka lembaran baharu pada kontinjen Para SUKMA Melaka.

Ianya apabila pesertanya, Muhammed Johar Johari mendapat pingat emas dalam acara catur lelaki individu Kategori Standart Blind 1 (B1).

Lebih manis lagi, pingat emas dimenangi Muhammed Johar merupakan pingat pertama kontinjen Melaka dari keseluruhan enam pingat emas yang diperolehi kontinjen Melaka.

Muhammed Johar, 39, yang menghidap ‘refinitis pigmen tona-RP’ dikesan sejak sekolah menengah tidak menyangka penyertaannya buat kali pertama pada sukan Para SUKMA 2018 membuahkan hasil.

Beliau rasa bagaikan bermimpi ketika pengumuman nama pemenang dan berasa bangga kerana menjadi atlet Melaka pertama yang memenangi pingat emas dalam acara catur Para SUKMA XIX 2018 sejak ia diperkenalkan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja, Mohd Syafik Sabani yang banyak membantu serta mendorong saya agar menyertai kontinjen Melaka pada Para SUKMA kali ini.

“Pingat emas ini juga saya hadiahkan kepada seluruh rakyat Melaka dan mentor catur, Khairi Jamzah yang banyak berkorban masa, wang dan memberikan tunjuk ajar selain membawa saya menyertai mana-mana pertandingan di seluruh negara.

“Pingat ini juga merupakan pingat emas kedua peribadi saya kerana sebelum ini saya telah menjuarai Kejuaraan Catur Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia anjuran Persatuan Catur OKU Malaysia Kategori OKU Cacat Penglihatan B1 di Kuala Lumpur pada Oktober lalu,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Tengkera ini menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka kerana membantu dan memberi kepercayaan kepada saya mewakili kontinjen Para SUKMA Melaka walaupun penyertaan saya ini dibuat secara sukarela.

Para SUKMA XIX 2018 berlangsung di Negeri Perak selama lapan hari bermula dari 21 hingga 28 November 2018 lalu.

275 Shares
CATEGORIES
TAGS