Papan tanda iklan inisiatif promosi TMM 2019

Papan tanda iklan inisiatif promosi TMM 2019

BATU BERENDAM 2 Jan. – Lebih banyak papan iklan akan didirikan bagi mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) di beberapa lokasi strategik.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam mencapai hasrat menarik kehadiran 20 juta pelancong pada tahun ini.

Jelasnya, papan iklan menjadi landasan untuk menarik lebih ramai pelancong selain penganjuran beberapa program menarik di setiap bulan sepanjang tahun ini.

Menurut Adly, pemasangan iklan akan tertumpu di beberapa lokasi termasuk Tol Ayer Keroh, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Terminal Jeti Antarabangsa Sungai Melaka.

Ujarnya, kerja-kerja penambahan papan iklan akan bermula bulan ini dengan mengenal pasti lokasi sesuai bagi memaparkan
produk-produk pelancongan negeri dan pembinaan dua tugu yang akan memperhebatkan promosi TMM 2019.

“Walaupun kita telah mentadbir negeri ini selama lapan bulan, namun kerajaan negeri di bawah Exco Pelancongan dan beberapa komponen pelancongan lain telah mula merancakkan sektor pelancongan sejak Ogos lalu.

“Ini juga sebagai persediaan sebelum melangkah ke Tahun Melawat Malaysia 2020, malah dalam tempoh ini, kita mampu promosikan negeri ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kedatangan Pelancong di LTAM, Batu Berendam di sini, Selasa lepas.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh.

Pada program itu, beberapa penumpang Malindo Air telah mendarat di LTAM sebagai persinggahan transit dari Pulau Pinang sebelum berakhir ke Indonesia.

Adly turut menyampaikan cenderahati kepada setiap penumpang di LTAM bagi mempromosikan pelancongan negeri ini.

CATEGORIES
TAGS