Norhizam buru babi hutan

Norhizam buru babi hutan

AYER KEROH 12 Feb. – Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee mengetuai operasi menembak babi hutan bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) baru-baru ini.

Operasi bersama Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh bersama 13 anggota Perhilitan dan empat pemburu berlesen itu berjaya menembak mati tiga ekor babi hutan bersaiz dewasa.

Norhizam berkata, operasi yang dijalankan itu akan diadakan dari masa ke semasa bagi membasmi binatang liar berkenaan.

“Babi hutan mudah dikesan pada waktu hujan kerana haiwan ini akan menggali tanah bagi mencari cacing untuk dimakan. Namun pada operasi ini, kita menggunakan umpan khas iaitu jagung, biji sawit dan garam.

“Antara faktor babi hutan ni berkeliaran dan terpaksa keluar mencari makanan kerana habitat mereka sudah dicerobohi,” jelasnya ketika dihubungi.

Katanya, operasi pemburuan haiwan liar itu melibatkan beberapa tempat di sekitar Bukit Senjuang, Ujong Pasir, Air Leleh dan Kuala Linggi.

Mengikut rekod, sebanyak 293 ekor babi hutan berjaya ditembak sepanjang tahun lalu.

Sebelum ini, tular rakaman visual memaparkan seekor babi hutan bersaiz dewasa kelihatan muncul di kawasan Bukit Senjuang yang dirakam oleh pengguna jalan raya berdurasi 19 saat mencetuskan kerisauan orang awam.

392 Shares
CATEGORIES