MUSA mohon maaf, enggan ulangi kesilapan

MUSA mohon maaf, enggan ulangi kesilapan

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) mengeluarkan permohonan maaf berhubung kesesakan penonton di pintu masuk tiket Stadium Hang Jebat bagi menyaksikan aksi pra musim kedua menentang Negeri Sembilan pada 5 Januari lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan di laman rasminya, MUSA mengakui kesilapan pihaknya dan akan membaiki segala kesilapan yang berlaku.

“Bagi memastikan perkara itu tidak berulang pada perlawanan persahabatan pra musim 2018 ketika bertemu Warriors FC di Stadium Hang Jebat esok, MUSA akan membuka semua pintu masuk tiket.

“Langkah ini diharap akan memudahkan dan melancarkan lagi pergerakan masuk penyokong ke stadium.

“MUSA memohon maaf kepada semua penyokong terlibat atas segala kesulitan yang berlaku pada perlawanan Sabtu lalu,” kata Bendahari Kehormat MUSA, Yuhaizad Abdullah menerusi satu kenyataan, semalam.

Situasi sesak Sabtu lalu dipercayai berpunca dari pembukaan hanya satu pintu untuk urusan masuk ke stadium dan mengundang rasa kurang senang penyokong.

Difahamkan kira-kira 10,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan tersebut tempoh hari.

CATEGORIES
TAGS