MUSA masih berbincang penuhi selera Zainal

MUSA masih berbincang penuhi selera Zainal

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA)  masih lagi berbincang memenuhi permintaan senarai pemain diberikan Ketua Jurulatih Melaka United  (MU), Zainal Abidin Hassan, walaupun tempoh pengumuman pemain sudah semakin hampir.

Presiden MUSA, Adly Zahari berkata, beliau menghormati kapasiti Zainal yang dilantik menggantikan E.Elavarasan, namun pendapat jawatankuasa di peringkat MUSA perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum memuktamadkan 22 pemain yang dikehendaki.

Katanya, MUSA telah mewujudkan jawatankuasa terdiri dari beberapa jawatan penting untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat khas.

“Saya sendiri telah mendengar pandangan mereka, memang Zainal sebagai Ketua Jurulatih mempunyai ruang untuk memilih pemain yang dikehendaki.

“Tetapi, pandangan mereka juga perlu diambil kira untuk membentuk pasukan yang serasi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Pesara Perkhidmatan Awam Negeri  Melaka 2018 di Hotel Equatorial di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, MUSA akan berusaha menandatangani kontrak pemain yang diingini secepat mungkin, bagi menggelakkan situasi ‘Faiz Nasir’ berulang.

Pemain yang digelar ‘Messi Ganu’ itu yang dikhabarkan hampir pasti menyertai MU beberapa minggu lalu telah pun memilih Selangor sebagai destinasinya bagi saingan musim depan.

Jelas Adly, kegagalan menarik minat Faiz ke MU merupakan suatu kerugian selepas perbincangan dan tawaran yang dibuat tidak mencapai kata putus.

“Masih ada yang pemain yang sedang kita buat perbincangan dan ada yang telah kita ikat semusim bagi menggelak perkara sama berlaku.

“Dalam tempoh seminggu dua ini kita akan muktamadkan kesemua pemain dan pengumuman akan dilakukan,” katanya.

Sehingga kini, hanya beberapa pemain sahaja yang telah mengikat kontrak bersama MU menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Antaranya ialah, bekas pemain pertahannya, Wan Amirul Afiq; bekas pemain pertahanan Penang FA, Mohd Raimi Md. Nor; bekas penjaga gol Hong Kong Rangers FC, Oscar Wong Tse Yang dan bekas pemain tengah Selangor, Saiful Ridzuan Selamat.

211 Shares
CATEGORIES
TAGS