MUSA beri penjelasan isu ‘1,000 langkah  ke belakang’ format Liga Melaka 2019

MUSA beri penjelasan isu ‘1,000 langkah ke belakang’ format Liga Melaka 2019

FORMAT baharu saingan Liga Melaka bagi musim 2019 dikritik teruk penyokong Melaka dan disifatkan sebagai 1,000 langkah kebelakang.

Menerusi luahan Facebook Khairil Samad, dia meluahkan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan MUSA yang mengguna pakai format saingan liga 2017.

Dalam luahan sembilan perenggan, itu, karanya, format saingan musim depan perlu diperbaiki kerana ia menjadi medium kelahiran pemain muda berbakat.

Katanya, format baharu 2019 dilihat hanya mengecilkan struktur liga dengan divisyen satu dan dua berkongsi format sama dengan 12 pasukan dan terbahagi kepada dua kumpulan dan johan dan naib johan kumpulan A dan B akan bertanding ke separuh akhir seterusnya ke pusingan akhir.

Jelasnya, manakala di divisyen tiga, saingan terbahagi kepada lapan kumpulan dengan satu kumpulan mempunyai empat pasukan dan juara kumpulan akan ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.

“Format yang ingin dikembalikan 2019 ini sebenarnya kembali semula kepada format lama, musim 2017.

“Tidak pula dikenal pasti, ‘kutu’ mana yang gatal nak ‘gostan’ (undur) balik format lama. Kecilkan struktur liga, pecah kumpulan dan senang kerja kan? Jadi Exco sedap, bincang tak mahu, buat group jadi sehala, orang cakap takmau dengar.

Menurutnya lagi, format saingan 2018 lebih munasabah dipraktikkan dengan empat kumpulan melibatkan enam atau tujuh pasukan setiap kumpulan membabitkan purata lima atau enam perlawanan bagi divisyen tiga dengan masing-masing punyai peluang untuk mara ke saingan kalah mati.

“Tapi, si cerdik entah ‘kutu’ mana gatal ubah format.

“Divisyen tiga Liga Melaka 2018, dibahagikan kepada lapan kumpulan. Setiap kumpulan terkandung empat pasukan, dengan juara setiap kumpulan akan ke pusingan kalah mati (Suku-Separuh-Akhir). Tiga perlawanan semusim untuk setiap pasukan (sekurang-kurangnya),” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, format terbabit masih lagi di peringkat cadangan dan masih belum diluluskan.

Katanya, perkara itu masih dibincangkan dan format saingan liga itu sedang diteliti.

“Format itu bergantung kepada penyertaan pasukan, jika ramai formatnya lain, jika kurang lain formatnya.

“Lagi pun ia masih dibincangkan dan ia hanya cadangan.

“Sesi taklimat kepada semua kelab akan dihantar dan mereka boleh bantah menerusi usul tidak setuju,” katanya.

Mengulas lanjut, beberapa perkara telah diteliti sebelum ini sebelum cadangan berhubung perkara itu dibuat.

“Antaranya, ia melibatkan kewangan kelab, sebab musim yang panjang melibatkan kos yang tinggi termasuk ada yang enggan bermain kerana jumlah mata yang dikutip terlalu rendah.

“Dan beberapa hal-hal lain, itu juga antara sebab mengapa kita membuat perubahan kepada format sedia ada,” katanya.

139 Shares
CATEGORIES
TAGS