Mujahid perjelas golongan LGBT terima zakat kepada peserta luar negara

Mujahid perjelas golongan LGBT terima zakat kepada peserta luar negara

BANDARAYA MELAKA 5 Dis. – Konsep perhambaan dalam konteks penerima zakat seharusnya dilihat dalam skop yang lebih luas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Malaysia sudah memandang perkara itu dengan lebih mendalam dan sudah mempraktikkannya.

Bercakap di hadapan kira-kira 400 peserta dari 28 negara, Mujahid menjelaskan, dalam zaman serba moden, ketiadaan hamba dan makna tradisionalnya perlu diperluaskan kepada hamba kepada hawa nafsu, masalah sosial dan krisis dialami seseorang yang membolehkan mereka tergolong sebagai asnaf untuk menerima zakat.

Katanya, pemberian zakat kepada golongan berkenaan bukan bermakna menyokong mereka melakukan aktiviti yang melanggar agama dan syariat, tetapi kepada mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan meninggalkan sisi gelap ke arah lebih baik.

“Seperti penagih dadah,  golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang orientasi seksual mereka berlainan, daripada maki hamun mereka atau sisihkan mereka.

“Salah satu dari program asnaf ini ialah mengeluarkan mereka daripada perhambaan itu yang melayakkan mereka mendapat zakat.

“Tetapi jangan salah anggap, mereka boleh menerimanya sesuka hati, tetapi dalam mencapai maksud mengeluarkan mereka dari itu (keluar dari bergelumang dengan dosa),” katanya

Beliau berkata demikian pada World Zakat Forum International Conference di Hotel Equatorial di sini sebentar tadi.

Ucapan Mujahid pada mulanya disambut gelak tawa dari para peserta sebelum mereka menepuk tangan mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Bertemakan ‘Strengthening Global Zakat Cooperation in Increasing the Welfare of the Ummah’, forum itu yang berlangsung bermula hari  ini akan berakhir pada 7 Disember depan.

CATEGORIES
TAGS