Mudahkan kami sebarkan dakwah – tokoh Ilmuwan Islam

Mudahkan kami sebarkan dakwah – tokoh Ilmuwan Islam

PENERIMA anugerah Tokoh Maal Hijrah 2018 bergambar bersama pada Majlis Perhimpunan & Penyampaian Anugerah Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Melaka
Bagi Tahun 2018 di MITC, kelmarin.

AYER KEROH 21 Sept. – Penerima Tokoh Ilmuwan Islam (Anugerah Imam As-Syafie), Abdul Ghani Samsudin berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap lebih terbuka memberi peluang mereka yang memiliki ilmu agama menyebarkan dakwah.

Beliau yang menerima anugerah disampaikan Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob itu berkata, peluang itu perlu diberikan selagi ceramah agama yang disebarkan tidak bertentangan dengan Islam yang sebenar.

Selain pernah dituduh sebagai penganut Syiah, beliau sendiri pernah merasai pengalaman dihalang menyampaikan ceramah agama, walaupun memiliki kredibiliti sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) dan Kolej Universiti Islam Insaniah (KUIN) Kedah.

“Apa yang saya harapkan adalah ruang untuk bersama-sama berkongsi ilmu agama melalui sesi-sesi ceramah yang dijalankan di sekitar Melaka dan negara ini.

“Tanpa melihat latar belakang politik seseorang individu itu,” katanya.

Abdul Ghani menerima anugerah disampaikan Mohd Khalil itu pada Majlis Perhimpunan & Penyampaian Anugerah Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Melaka
Bagi Tahun 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari.

Abdul Ghani yang juga merupakan pemegang sarjana Perbandingan Mazhab dan Undang-undang syariah turut mempunyai jawatan sebagai Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah.

Jelasnya, penganugerahan diberikan Mohd Khalil terhadapnya diharap membuka mata semua pihak yang menuduhnya sebagai penganut syiah.

“Pernah dituduh siyah, namun menganggap ia sebagai gimik mainan politik bagi menjatuhkan saya dengan menanam kebencian itu, sedangkan saya tidak pernah terlibat syiah.

“Saya pernah menjadi pensyarah, kalau saya syiah tentu pelajar-pelajar saya ada yang syiah dan saya pula lepasan Universiti Azhar, Mesir dan di sana bukan tempat untuk syiah,” katanya.

Selain itu turut disaksikan beberapa penerima anugerah lain, antaranya Tokoh Anugerah Mithali (Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yasir), Datuk Mazlan Abdullah dan Datin Azizah Hussin; Tokoh Perkhidmatan Awam (Anugerah Umar Abdul Aziz), Mohammad Nawi Abu Bakar; Tokoh Usahawan Islam (Anugerah Abdurrahman Auf), Datuk Mohd Said Osman; Tokoh Penggerak Masyarakat (Anugerah Mu’adz Jabal), Datuk Dr. Ghazali Othman.

Diikuti, Anugerah Aktivis Muslim ( Anugerah Salman Al-Farisi), Abdul Rauf Abdullah; Anugerah Belia Islam (Anugerah Ali Abi Talib), Muhammad Firdaus Bakrin; Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik (Kariah), Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil dan Anugerah Pengurusan Surau Terbaik (Kariah), Surau Nur Iman Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah.

Kesemua mereka menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil penghargaan dan pingat.

CATEGORIES
TAGS