MU umum Ketua Jurulatih baharu minggu depan

MU umum Ketua Jurulatih baharu minggu depan

ADLY akan mengumumkan Ketua Jurulatih baharu MU, minggu depan selepas sidang media MMKN di Seri Negeri, sebentar tadi.

PEMILIHAN Ketua Jurulatih Melaka United (MU) masih lagi menjadi tanda tanya selepas Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari menafikan bekas Ketua Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan dipilih sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu bagi musim depan.

Menurut Adly, keputusan terhadap perkara berkenaan akan diumumkan minggu depan dan Zainal hanyalah salah seorang calon yang sudah disenarai pendek

“Dia antara salah seorang yang sudah disenarai pendek, ada beberapa nama lain juga yang sedang dinilai.

“Kita akan muktamadkannya minggu hadapan dan penilaian itu akan membabitkan kemampuan kewangan MUSA juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri sebentar tadi.

Semalam, MelakaKini dan beberapa portal berita lain melaporkan Zainal sudah hampir pasti menandatangani kontrak bersama pasukan itu dan mengenepikan calon bekas Ketua Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris dan pembantu Ketua Jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil

Bagaimanapun semalam, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan surat tawaran yang dihantar kepada Zainal untuk memimpin kelab berkenaan bagi musim 2019.

Dalam masa sama, memberitahu Adly sudah memberikan lampu hijau kepada pasukan untuk mengambil Zainal sebagai Ketua Jurulatih MU.

“Presiden (Adly Zahari) sudah memberikan lampu hijau kepada pasukan untuk mengambil Zainal selaku jurulatih dan hari ini, saya bersama wakil Presiden sudah menyerahkan surat tawaran kepada Zainal,” katanya.

MU terpaksa mencari calon baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan E.Elavarasan selepas beliau enggan menyambung kontraknya bersama kelab itu selepas berjaya mengekalkan kempen di Liga Super, walaupun memperbaiki kedudukan tangga Liga Super banding musim lalu.

CATEGORIES
TAGS