MPJ rangkul Anugerah Inovasi Ketua Menteri Melaka

MPJ rangkul Anugerah Inovasi Ketua Menteri Melaka

Oleh JURAIDAH OTHMAN

JASIN 4 Dis. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sekali lagi melakar kejayaan apabila dipilih menerima Anugerah Inovasi Ketua Menteri Melaka Kategori Inovasi Sosial – Penambahbaikan sempena Persada Inovasi Kerajaan Negeri Melaka 2018.

MPJ diwakili Yang Dipertuanya, Mustaffa Ali menerima anugerah termasuk hadiah wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil disampaikan Ketua Menteri, Adly Zahari pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri di sini, baru-baru ini.

Mustaffa berkata, MPJ sentiasa membudayakan inovasi dan kreativiti dalam usaha menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan dan tahap kecemerlangan pentadbiran.

“Penyertaan MPJ terhadap program seumpama ini yang penuh dengan pelbagai pengisian juga berupaya memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif serta inovatif dalam cara kerja yang diamalkan seluruh kakitangan kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya percaya sambutan Hari Inovasi ini juga bertepatan dengan keperluan semasa yang memerlukan rakyat terutama kakitangan MPJ mengembangkan pengetahuan dengan daya kreativiti, inovasi serta punyai nilai tambah tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, program itu juga diharap dapat memberi peluang kepada rakyat mengenali perkhidmatan MPJ selain mendekatkan rakyat tanpa mengira latar belakang kepada agensi kerajaan.

“Ini selari dengan usaha transformasi perkhidmatan MPJ kepada pelanggan dan rakyat khususnya di daerah Jasin,” ujarnya.

CATEGORIES