MPHTJ nasihatkan peniaga pilih lokasi selamat

MPHTJ nasihatkan peniaga pilih lokasi selamat

AYER KEROH 7 Nov. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menasihatkan para peniaga pilih lokasi selamat menjalankan perniagaan atau berdepan tindakan tegas.

Yang Dipertuanya, Mahani Masban berkata, langkah itu dibuat supaya peniaga terutama yang memilih menjalankan perniagaan di bahu jalan raya kekal mematuhi undang-undang ditetapkan.

Katanya, pada masa sama, mengurangkan risiko kemalangan serta mengelakkan kejadian dirempuh kenderaan seperti berlaku di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang.

“Pihak MPHTJ akan memantau kesemua peniaga yang menjalankan perniagaan di bahu jalan dan menasihatkan mereka supaya pindah ke lokasi lain yang lebih selamat yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jika masih berdegil, tindakan tegas terpaksa diambil dan kami memandang serius hal sedemikian, apatah lagi jika ia membabitkan kes-kes peniaga tanpa lesen,” katanya.

Mahani berharap, orang ramai dapat memberikan kerjasama terhadap tugas dijalankan PBT membabitkan langkah memindahkan peniaga- peniaga ke kawasan yang ditetapkan.

“‘Public’ selalu marah dan lemparkan bermacam tuduhan termasuk mengganggu pihak berkuasa ketika kami menjalankan tugas. Harap mereka memudahkan kami jalankan tugas,” katanya.

Berhubung insiden itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemandu kereta terbabit Muhammad Azzizat Mohamad Kasim, 19, tidak cedera.

“Kejadian berlaku pada jam 5 petang membabitkan sebuah kereta dan gerai coconut shake.

“Siasatan di lokasi kemalangan mendapati, jalan itu tiga lorong sehala dan kejadian berlaku ketika cuaca baik.

“Pemandu kereta dipercayai terbabas akibat terlelap lalu merempuh gerai dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas,” katanya.

123 Shares
CATEGORIES
TAGS

COMMENTS