Mengaji al- Quran resepi Mursyidin peroleh 10A+

Mengaji al- Quran resepi Mursyidin peroleh 10A+

BUKIT BARU 14 Mac – Amalan mengaji al- Quran setiap hari Khamis dan Jumaat malam antara resepi kejayaan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Melaka, Muhammad Mursyidin Suratman, 18.

Pelajar dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh itu mendedahkan dengan mengaji Al-quran dua hari seminggu membantu dirinya lebih mudah untuk mendapat ketenangan dan sekali gus memberi tumpuan yang lebih ketika belajar.

Muhammad Mursyidin yang berasal dari Klebang turut menyatakan syukur dan teruja ketika mendapat panggilan daripada gurunya yang meminta dirinya tidak hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan tetapi terus ke Jabatan Pendidikan Negeri di Bukit Baru.

Menceritakan lebih lanjut, dia yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi dalam kesemua subjek dengan keputusan 10A+ mengakui sokongan keluarga turut menjadi resepi kejayaan buat dirinya.

“Ibu saya berniaga sarapan, ayah saya bekas kakitangan kontrak kerajaan, sekarang ayah membantu ibu berniaga, saya anak bongsu dari lapan beradik dan kami tidak senang seperti orang lain.

“Tapi ibu sering bagi nasihat jangan banding-bandingkan hidup kita dengan orang, bersyukur apa yang ada dan mereka (ibubapa) galakkan saya untuk terus pengajian walaupun pendapatan tidak stabil, kerana dengan ilmu sahaja kita mampu mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, pagi tadi.

https://t.me/melakakinidotmy

Muhammad Mursyidin yang kini bekerja sementara di kedai kek di sebuah pasaraya berdekatan rumahnya turut berkata, dia sendiri tidak menyangka berjaya memperoleh keputusan cemerlang kerana percubaan dia hanya peroleh keputusan 3A sahaja.

“Perasaan hari ini sukar untuk diungkapkan, saat nama dipanggil untuk naik ke pentas, saya lihat ibu bapa saya tersenyum lebar dan masa itu, saya hanya mampu ucap syukur dalam hati tanpa henti,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi usahawan yang berjaya satu hari nanti.

Bagi ibu Muhammad Mursyidin, Rokiah Haron, 59, anaknya itu seorang yang ringan tulang dalam membantunya menguruskan rumah, memasak dan buat kuih.

“Masa nk masuk ke sekolah menengah saya pernah nak masukkan dia ke sekolah tahfiz, sebab dari kecil saya lihat dia mempunyai otak yang laju, dari bab mengira, menghafaz dan mendengar kata,” jelasnya.

Muhammad Mursyidin antara enam orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang tertinggi SPM diantara 13,821 calon di seluruh negeri itu pada tahun lalu.

1.35K Shares
CATEGORIES
TAGS