Melaka mahukan pandangan kreatif rakyat bangunkan Klebang

Melaka mahukan pandangan kreatif rakyat bangunkan Klebang

KLEBANG 12 Jan. – Melaka sedia mendengar pandangan rakyatnya bagi membangunkan kawasan Klebang supaya ia kekal menggamit jutaan pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pandangan yang diberikan akan membantu kerajaan negeri membangunkan kawasan itu dari sudut kreatif, dalam masa sama mengekalkan pembangunan sedia ada.

Katanya, pembangunan yang lahir dari pendapat kreatif rakyatnya mampu mempelbagaikan potensi Klebang.

“Jika tiada benda baru maka tiada kejayaan besar, jadi perlu ada kreativiti dan Klebang memerlukan pandangan baru bagi mewujudkan suasana baharu.

“Tanpa menganggu prasana sedia ada dan ia perlu difikirkan, apatah lagi kawasan ini memiliki kawasan lapang yang berpotensi dibangunkan,” katanya pada lawatan kerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, hari ini.

Adly berkata, sesetengah DUN telah pun memulakan langkah mengoptimakan kawasan tanah terbiar dan menjadikannya sebagai lapangan kepada pembangunan usahawan.

“Seperti DUN saya (Bukit Katil) yang telah menggunakan kolam ikan keli terbiar untuk diusahakan semula sebagai kolam ternakan spesis ikan lain.

“Dan menggunakan tanah terbiar yang ada untuk dimajukan para usahawan,” katanya.

Sementara itu, Adly turut mencadangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck supaya menyarankan pemilik tanah di kwasan berkenaan menanam pokok bagi mengindahkan kawasan berkenaan.

Katanya, langkah itu mewujudkan suasana berbeza dalam masa tiga hingga empat tahun dengan bantuan rakyat tanpa perlu mengharap usaha kerajaan negeri sepenuhnya dalam soal membaiki prasarana sedia ada.

“Biar orang nampak Klebang lain macam, jika semua pemilik tanah menanam pokok, mungkin dalam tempoh tiga hingga empat tahun kita akan dapat lihat suasana yang berbeza,” katanya.

Kredit Foto – Adly Zahari Official

3.37K Shares
CATEGORIES