Melaka laksana prinsip keadilan dalam pentadbiran

Melaka laksana prinsip keadilan dalam pentadbiran

BANDARAYA MELAKA 7 Dis. – Kerajaan negeri akan terus melaksanakan prinsip keadilan dalam pentadbirannya bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat terus dipulihara, sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya maklum bahawa sistem kehakiman dan Islam sudah bertapak lama di Malaysia, khususnya di Negeri Melaka.

Menurutnya, bidang kehakiman merupakan bahagian yang tidak terpisah dari ajaran Islam.

Ujarnya, prinsip-prinsip keadilan dalam Islam menjadi landasan kepada asas pelaksanaan syariat Islam.

“Justeru, kehakiman adalah sebuah institusi yang amat penting dalam sesebuah negara Islam dalam mencapai matlamat untuk menegakkan keadilan.

“Kehakiman dalam Islam mengkehendaki supaya keadilan ditegakkan tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama, kerabat, saudara mara, malahan diri sendiri,” katanya.

Adly berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli MAIM dan Majlis Pentauliahan Pelantikan Hakim di Hotel Equatorial di sini, hari ini.

Majlis pengurniaan watikah itu telah disempurnakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Seramai 21 penerima Watikah Pelantikan Hakim Syarie dan Pendaftar terdiri lima Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, tujuh Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan empat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah serta tiga Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah turut menerima watikah pelantikan.

Manakala seramai 18 orang turut mendapat limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, sebagai Pendaftar Mahkamah Syariah.

Selain itu, seramai 15 orang akan menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis MAIM bagi Sesi 2018/2020.

Lantikan itu terdiri anggota yang memegang jawatan tersebut, mereka yang arif dalam hukum syarak dan seorang setiausaha bagi majlis yang mendapat limpah perkenan Sultan Muhammad V, atas nasihat pihak berkuasa negeri.

194 Shares
CATEGORIES