Melaka harap kerjasama kerajaan pusat

Melaka harap kerjasama kerajaan pusat

KLEBANG 8 Nov.  – Melaka  mengharapkan kerjasama dari kerajaan Pusat bagi membangunkan projek tanah-tanah terbiar milik kerajaan negeri, sekali gus memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari menjelaskan inisiatif itu sebagai usaha pihaknya membuat penyelesaian hutang kepada kerajaan Pusat.

Jelasnya, Melaka mempunyai komitmen hutang dengan kerajaan Pusat sebanyak RM1.8 bilion.

“Secara keseluruhannya, kita ada hutang awam sekitar RM800 juta, hutang defisit (RM600 juta) dan bayaran pengurusan kira-kira RM360 juta melibatkan keseluruhan RM1.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lih Jen, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga menerima cadangan dari pihak swasta untuk mengambil alih bangunan lama yang terbengkalai serta tidak dimajukan.

“Memang sekarang ini ada beberapa cadangan dari pihak swasta sama ada bangunan terbengkalai atau bangunan lama yang tidak dimajukan contohnya beberapa hotel terbiar di Pantai Puteri yang mereka boleh ambil alih.

“Begitu juga dengan projek-projek dihentikan, kerajaan negeri sedang mencari jalan penyelesaian menerusi proses rundingan dengan pihak pemaju,” katanya.

Sementara itu, Adly menambah kerajaan negeri akan melaksanakan tender terbuka kepada syarikat konsensi penambakan laut yang berminat melakukan aktiviti berkenaan di negeri itu pada masa hadapan.

Pelaksanaan tender terbuka akan dijalankan ke atas semua kawasan tambakan laut yang belum punyai perjanjian.

Selain telah diambil alih oleh kerajaan negeri kecuali membabitkan kemudahan awam yang menggunakan kaedah perundingan.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada syarikat-syarikat konsesi tambakan laut untuk bersaing secara adil, sekali gus memberikan tawaran terbaik kepada kerajaan negeri.

Katanya, ketika ini aktiviti tambakan laut di kawasan yang telah dimuktamadkan berjalan seperti biasa dan terdapat di antaranya telah dibatalkan seperti projek tambakan laut di Pulau Upeh yang mengganggu ekosistem dan bermasalah.

“Unit Pemerkasaan Ekonomi Negeri (UPEN) menilai kawasan-kawasan ini dan seterusnya ada juga kawasan yang kita sudah membuat perjanjian, tetapi belum ditambak kerana mahu menstruktur semula kawasan itu mengikut pelan.

“Ini kerana kadang-kadang kawasan tersebut perlu mengikut pelan perancangan sebab ia membabitkan sistem perparitan dan aliran sungai yang akan memberi impak terhadap masalah banjir sekitar Klebang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat permohonan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya penubuhan Universiti Jepun dapat dibina di Melaka.

Kerajaan negeri juga telah membuat permohonan kepada kementerian dan Perdana Menteri untuk menjadikan Melaka sebagai Hub Kereta Nasional.

 

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS