Md Noor Derus antara calon jurulatih Pasukan Belia Melaka United

Md Noor Derus antara calon jurulatih Pasukan Belia Melaka United

BEKAS ketua jurulatih Terengganu City FC, Md Noor Derus merupakan antara calon yang telah di senarai pendek dalam Sesi Temuduga Calon-Calon Ketua Jurulatih Pasukan-Pasukan Belia Melaka United bagi musim 2019 baru-baru ini.

Selain Md Noor Derus, tiga lagi bekas pemain Melaka iaitu Rashid Mahmud, Mohd Fauzzi Kassim dan Azizan Baba turut tersenarai sebagai antara calon yang berpotensi menggalas tugas tersebut.

Naib Presiden & Pengerusi Teknikal & Pembangunan Belia Melaka United, Nick Yong Yoon Pin berkata temuduga berkenaan adalah bagi menilai calon-calon terbabit untuk mengisi jawatan Ketua Jurulatih Skuad Bawah 17 dan 19 Tahun Melaka United bagi menghadapi saingan Piala Belia dan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2019.

“Bagi pemilihan jawatan Ketua Jurulatih Skuad Bawah 19 dan 17 Tahun Melaka United ini, kami (Melaka United) perlu menyaring setiap calon yang hadir dan bukan mudah untuk kami memilih kerana setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing.

“Amat penting buat pasukan Melaka United membentuk skuad belia yang mantap kerana skuad ini merupakan akar umbi buat pasukan ini, justeru kami amat mengutamakan khidmat jurulatih serta pemain yang berasal dari Melaka.

“Tenaga anak jati Melaka yang berkebolehan amat diperlukan jika kita mahu memastikan Melaka United mempunyai ‘identitinya’ yang tersendiri,” katanya.

115 Shares
CATEGORIES
TAGS