Majlis Pemakaian Selempang Jubah Graduan suntik semangat pelajar

Majlis Pemakaian Selempang Jubah Graduan suntik semangat pelajar

DURIAN TUNGGAL 3 Dis. – Majlis Pemakaian Selempang Jubah Graduan Pasca Siswazah Fakulti Pengurusan Teknologi & Teknousahawanan (FPTT) suntikan buat pelajar mengukir kecemerlangan akademik.

Majlis anjuran FPTT Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, bukan hanya memberi motivasi kepada pelajar pasca siswazah FPTT, malah para pensyarah untuk terus mencipta kejayaan.

Dekan FPTT UTeM, Prof. Dr. Md. Nor Hayati Tahir turut melahirkan rasa syukur dan tahniah kepada para graduan fakulti tersebut yang berjaya bergraduat tahun ini.

“Tahun ini, FPTT telah melahirkan seramai enam graduan Doktor Falsafah (PhD), 23 graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan 13 graduan Sarjana Penyelidikan.

“Sejak FPTT ditubuhkan tahun 2009, seramai 276 graduan pasca siswazah telah dihasilkan dengan jayanya menerusi FPTT UTeM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Selempang Jubah Graduan Pasca Siswazah FPTT sempena Majlis Konvokesyen UTeM Ke-14 di Auditorium Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM di sini, baru-baru ini.

Sempena majlis konvokesyen UTeM itu, seramai tiga graduan pasca siswazah FPTT menerima anugerah kecemerlangan akademik masing-masing.

Bagi Anugerah Pro-Canselor diterima Nurayati Dabas, Anugerah Naib Canselor diterima oleh Noorharnani Mohd Sarkawi dan Tesis Terbaik pula dianugerahkan kepada Siah Jia Wen.

Md. Nor Hayati berharap majlis itu selari dengan agenda UTeM yang sentiasa merintis dan meneraju pemartabatan jenama universiti awam teknikal yang paling berperestij di negara ini.

Pada majlis itu, seramai 42 graduan pasca siswazah FPTT tahun 2018 dipakaikan selempang jubah buat pertama kalinya oleh fakulti tersebut.

Alumni Pasca Siswazah FPTT, Mohd Yusof Abu Bakar berkata, pembelajaran di UTeM bukan sahaja selesa, malah sesuai bagi mereka yang sedang bekerja untuk menyambung pengajian.

CATEGORIES