MAIM galak masjid & surau pasang CCTV

MAIM galak masjid & surau pasang CCTV

PADANG TEMU 28 Nov. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menggalakkan semua masjid dan surau di negeri ini memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi pencegahan kegiatan jenayah.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Halim Tawil berkata, pemasangan CCTV tersebut terserah kepada lembaga masjid atau surau, jika mereka punyai peruntukan kewangan mereka boleh pasang.

Menurutnya, pemasangan CCTV akan memudahkan sesuatu perkara jika terjadi, ia akan memudahkan pihak polis melakukan siasatan pada masa akan datang.

“Tetapi, pada masa sama, pemasangan CCTV juga tidak menjamin keselamatan kerana kes kecurian dan lain-lain tetap boleh berlaku kerana perkara-perkara ini datang dari hati.

“Ada tempat banyak CCTV, tetapi semasa orang tengah sembayang mereka boleh mencuri beg-beg jemaah.

“Dengan adanya CCTV, tiada tuduh-menuduh, mungkin kita boleh lihat nombor kenderaan yang digunakan serta muka suspek,” katanya.

Abd. Halim berkata demikian kepada MelakaKini selepas Majlis MengIslamkan Saudara Baharu di Surau Al-Hidayah di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Abd. Halim turut memberi komen tentang insiden penemuan cebisan daging dipercayai babi yang dicampakkan di dua buah surau di daerah Jasin, kelmarin.

Abd. Halim berkata, pihak berkuasa perlu diberi masa untuk menyiasat kes itu, pada masa sama semua rumah ibadat perlu dipantau bagi mengelak kejadian tersebut daripada berulang.

“Serahkan kepada polis untuk menyiasat, biarkan mereka menjalankan siasatan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang.

“Sebagai umat Islam, saya menyeru masyarakat tidak bertindak melakukan provokasi, sebaliknya serahkan isu itu disiasat pihak berkuasa,” ujarnya.

Jemaah di dua buah surau di daerah ini iaitu Surau Bukit Serkam dan Surau An Nur di Ladang Serkam dikejutkan dengan penemuan cebisan daging dipercayai babi di pekarangan masjid.

170 Shares
CATEGORIES