Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Shahidan Kassim

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Shahidan Kassim

KANGAR – Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan dipercayai kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan,” katanya.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

“Kes berprofail tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik oleh Shahidan, Ahli Parlimen Arau itu sedang berada di Tanah Suci kerana menunaikan ibadat umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan walau bagaimanapun menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS