Lipat ganda rezeki melalui ‘mixed farming’

Lipat ganda rezeki melalui ‘mixed farming’

AYER KEROH 12 Feb. – Kerajaan negeri menyokong saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahadhir Mohamad yang mahu menggalakkan golongan petani khususnya belia agar tidak terlalu bergantung kepada sesebuah jenis tanaman sahaja.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, usaha (pelbagaikan tanaman) itu dilihat dapat melipatgandakan keuntungan berbanding fokus kepada satu tanaman sahaja.

“Selain itu, ia sebagai langkah persediaan sekiranya sesuatu tanaman itu berdepan kejatuhan harga.

“Sebab itu, saya mahu golongan belia khususnya guna idea baik ini untuk petani yang lebih cemerlang. Manfaat tanah yang ada sebaik mungkin.

“Sekiranya kita menanam tanaman bernilai tinggi di pasaran negara atau luar seperti cili, pisang, kelapa dan sebagainya sudah pasti pendapatan petani dan pemilik ladang terus meningkat malah berlipat ganda,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru- baru ini.

Norhizam berkata, pihaknya akan menilai bentuk bantuan yang boleh disalur buat belia berminat.

Di negeri ini, V Gunalan, 47, menjadi perintis projek tersebut (mixed farming) malah merupakan usahawan yang pertama mengusahakan lima tanaman di tanah yang disewanya seluas 40 ekar.

Gunalan berkata, dia mula memanfaatkan tanah dengan beberapa tanaman seperti kelapa pandan, limau kasturi, ternakan kambing, durian belanda dan pisang sejak lima tahun lalu.

“Disebabkan saya mempunyai pengalaman dan sudah menyertai pelbagai usahasama, bermula dari situ saya bercadang mengembangkan bidang pertanian ini.

“Saya mahu membuka mata masyarakat agar memanfaatkan tanah yang ada, biarpun di halaman rumah. Biar sedikit lama- lama menjadi bukit. Jika berpeluang saya sendiri sanggup mengajar usahawan yang berminat untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Menurutnya yang sudah berkecimpung dalam bidang pertanian sejak 14 tahun lalu, kepercayaan dan sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan untuknya meneruskan satu projek dengan lima pendapatan agar dapat menjadi contoh terbaik kepada rakyat Melaka khususnya.

174 Shares
CATEGORIES