Lif kerap rosak : Penduduk PPR Krubong mohon pemaju bertanggungjawab

Lif kerap rosak : Penduduk PPR Krubong mohon pemaju bertanggungjawab

KEDIAMAN Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di Melaka yang mengalami masalah lif sejak lebih setahun lalu.

AYER KEROH 25 Okt. – Masalah kerosakan lif di setiap blok berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong meresahkan penghuni di perumahan itu dalam tempoh tidak sampai setahun didiami sehingga memaksa penduduk menggunakan tangga.

Kerosakan bagi setiap lif yang boleh menampung kira-kira 150 keluarga di setiap blok akhirnya tidak boleh didiamkan lagi meskipun penghuni telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak pemaju.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Mohd Mizuan Mansor berkata, dia buntu kerana masalah diadukan sejak sekian lama masih tidak mendapat sebarang pembelaan dari pihak pemaju.

“Bukan itu saja, kami juga sudah mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat, tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan dengan baik, malah terus berlaku berulang kali.

“Kami berharap masalah ini dapat diatasi segera demi kebaikan semua pihak terutama warga emas, wanita mengandung serta mereka yang menghidap semput atau penyakit jantung.

“Jangan sampai berlakunya perkara tidak diingini seperti kemalangan atau kehilangan nyawa baru ada tindakan dari pihak bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hambali Ishak, 43, berkata, keadaan semakin meruncing apabila tiba waktu puncak di mana penduduk akan berdepan kesukaran kerana semua pihak berasak-asak mahu menggunakan lif.

Katanya, paling dikesali kerosakan lif di setiap blok itu seolah-olah tidak diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab dan dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang terlalu lama.

“Bayangkan setiap hari mereka yang tinggal di tingkat sembilan, terpaksa menaiki tangga untuk sampai ke rumah masing-masing dan situasi ini sangat membebankan,” katanya.

Sementara itu, wakil Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sudah mengajukan masalah kerosakan lif di setiap blok PPR Krubong kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd Dom berkata, terdapat dua lif di setiap blok dan satu darinya terletak di bawah seliaan LPM, manakala satu lagi lif di bawah seliaan kontraktor utama yang dilantik KPKT.

Menurutnya, kesemua lif yang tidak berfungsi lebih dari setahun itu masih di bawah tanggungjawab kontraktor utama dan LPM tidak punyai kuasa memberi arahan kepada pihak berkenaan.

“Bagaimanapun, kita telah berhubung dan menghantar laporan mengenai kerosakan lif tersebut kepada pihak KPKT agar kementerian itu boleh mengambil tindakan lanjut termasuk mengarahkan kontraktor terbabit menyegerakan proses baik pulih.

“Namun, kita tidak boleh memberi jaminan bila lif tersebut boleh dibaiki oleh pihak kontraktor utama,” katanya.

 

CATEGORIES