Lebih RM160,000 peruntukan disalurkan bantu mangsa banjir

Lebih RM160,000 peruntukan disalurkan bantu mangsa banjir

ALOR GAJAH 4 Dis. – Lebih RM160,000 peruntukan disalurkan kepada 327 mangsa banjir di kawasan Alor Gajah, hari ini.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, usaha itu sebagai komitmen kepada mangsa banjir di kawasan tersebut.

SEBAHAGIAN penerima sumbangan yang hadir pada Csr@Med: Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Parlimen Alor Gajah di Dewan Masjid As-Syakirin, hari ini.

Menurutnya, ia ekoran beberapa kawasan di Alor Gajah yang dilanda bencana banjir teruk hingga mencatatkan jumlah mangsa teramai di negeri ini.

“Baru-baru ini, kawasan parlimen ini (Alor Gajah) telah dilanda bencana alam yang agak teruk.

“Daerah Alor Gajah mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai kali ini. Banjir kali ini paling teruk pernah  dialami sejak tahun 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Csr@Med: Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Parlimen Alor Gajah di Dewan Masjid As-Syakirin di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pihaknya dalam perbincangan bersama Kerajaan Negeri Melaka serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada masalah banjir di negeri ini khususnya dalam kawasan daerah Alor Gajah.

“Kami mengambil maklum bahawa banjir kali ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang tidak dapat dielakkan.

“Diharap menerusi sumbangan ini, serba sedikit ia dapat meringankan beban mangsa banjir amnya.

“Bantuan sejumlah RM500 bagi setiap isi rumah diberikan dalam bentuk baucar yang boleh dituntut di Pejabat Parlimen Alor Gajah,” katanya.

Tambahnya, bagi keluarga yang tidak ditempatkan di mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS),  setiap mereka akan diberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan.

“Sebanyak 550 keluarga yang terlibat banjir akan diberikan keperluan asas seperti minyak, beras, gula dan lain-lain,” jelasnya.

CATEGORIES