Langkah berjimat demi kemakmuran ekonomi Melaka

Langkah berjimat demi kemakmuran ekonomi Melaka

AYER KEROH 24 Mei – Kerajaan negeri akan melaksanakan langkah berjimat cermat sebagai langkah memastikan setiap peruntukan dapat digunakan secara berhemah dan berkesan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sebelum ini peruntukan khidmat masyarakat yang dibajetkan untuk setiap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) sudah digunakan 90 peratus dan kini berbaki 10 peratus.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan memotong beberapa peruntukan program kerajaan negeri sebagai langkah menyusun semula struktur peruntukan baharu untuk tahun hadapan.

Ujarnya, antara program yang akan dipotong bajetnya adalah Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan negeri yang menyaksikan separuh dari RM3.3 juta peruntukan dipotong.

“Perkara seperti ini yang sedang ditumpukan, sebagai contoh peruntukan sambutan hari raya dipotong separuh, tetapi jumlah selebihnya dari bajet itu akan dibawa kepada program masyarakat untuk diimbangi.

“Penjimatan itu turut meliputi lawatan ke luar negara untuk mempromosikan Melaka.
“Perbelanjaan lawatan ke luar negara dilihat melebihi perkara yang sepatutnya dibuat dan tidak digunakan untuk pembangunan infrastruktur pelancongan Melaka,” katanya dalam sidang media selepas MMKN, kelmarin.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri akan mula menyalurkan peruntukan kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (Japerun) bermula minggu ini.

“MMKN telah muktamadkan, dari pembahagian kewangan ini juga menyaksikan penyaluran peruntukan di Japerun supaya program khidmat masyarakat akan diteruskan dan penjawatan di Japerun akan bermula minggu ini,” kata Adly.

CATEGORIES