Kunjungan balas : Jailani ketuai lawatan ke PekanBaru

Kunjungan balas : Jailani ketuai lawatan ke PekanBaru

BATU BERENDAM 11 Feb. – Exco Pelancongan, Kebudayaan & Warisan, Datuk Muhamad Jailani Khamis mengetuai Program Kunjung Balas Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka (PPSPM) ke PekanBaru selama empat hari bermula hari ini.

Lawatan disertai Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin; Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat Melayu, Jabatan Ketua Menteri, Mohamad Ali Shariff; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Fadilah Md. Salleh; Pengurus Besar Sungai Melaka Ventures Sdn. bhd., Rafee Ibrahim serta wakil-wakil agensi berkaitan.

Jailani yang juga Timbalan Pengerusi PPSPM dijangka akan mengadakan perjumpaan bersama Direktor Dinas Pariwisata Propinsi Riau, Fahmizal sejurus tiba dan seterusnya menghadiri majlis makan malam.

Program itu bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) dalam misi mencapai sasaran 20 juta pelancong pada tahun ini.

Selain itu, program juga bertujuan menjalinkan usaha sama melibatkan beberapa syarikat swasta untuk membangunkan Sungai Siak Waterfront City di PekanBaru.

Bercakap kepada media, Muhamad Jailani berkata, usaha itu bagi mewujudkan satu bandar di antara dua jambatan bekembar di Sungai Siak.

“Perancangan projek jalinan kerjasama ini terhasil selepas lawatan delegasi dari Riau ke Melaka, baru-baru ini.

“Delegasi tersebut menunjukkan minat terhadap pembangunan Sungai Melaka dan berhasrat menjadikannya sebagai contoh untuk membangunkan sungai bekenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, sebelum berlepas ke PekanBaru, hari ini.

Justeru, Jailani mengharapkan lawatan itu akan membuahkan hasil dan segala projek yang dirancang berjalan lancar.

CATEGORIES