KP Penjara mahu lebih ramai pihak tiru KBS

KP Penjara mahu lebih ramai pihak tiru KBS

TELOK MAS 13 Mac – Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang telah memberi peluang pekerjaan kepada tiga bekas pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG) di kementeriannya.

Katanya, usaha murni beliau itu dapat membantu lepasan SHG membina jati diri mereka dan mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap bekas penghuni penjara, selain memudahkan proses pengintegrasian semula bersama masyarakat.

Jelasnya, beliau mengharapkan lebih banyak pihak yang akan meneruskan usaha seperti ini supaya bekas penghuni SHG tidak terjebak semula ke kancah jenayah.

“Sehingga 11 Mac 2019, seramai 3,734 banduan muda di bawah 21 tahun direkodkan menjalani hukuman.

“Dari jumlah itu kira-kira 2,268 banduan muda di penjara, manakala 1,466 pelajar menjalani hukuman di SHG.

“Dan daripada 3,734 banduan itu, seramai 1,400 tahanan sedang mengikuti pembelajaran akademik di Sekolah Integriti dan SHG, manakala selebihnya mengikuti program kemahiran dan program pemulihan yang lain,” katanya.

Omar berkata demikian semasa menyampaikan taklimat sempena Lawatan Kerja Syed Saddiq ke SHG Telok Mas di sini, semalam.

Program lawatan kerja Syed Saddiq ke SHGTM bertujuan memahami permasalahan golongan belia, terutamanya belia-belia yang tersasar.

Ia juga bagi mendapatkan maklum balas berkenaan usaha yang boleh dimainkan pihak kerajaan dalam membantu golongan belia selepas menjalani proses pemulihan agar mereka diberi hak yang sama rata dalam memainkan peranan mereka selaku warga negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia di masa akan datang.

Antara lain,membuka peluang kedua buat penghuni, terutamanya golongan belia serta menghakis sikap segelintir stigma masyarakat terhadap bekas penghuni apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat dalam memberi peluang kedua kepada belia yang merupakan bekas penghuni SHG.

CATEGORIES