Kerjasama Malaysia-China dipamerkan

Kerjasama Malaysia-China dipamerkan

BANDARAYA MELAKA 7 Dis. – Pameran Gambar ‘Bina Masa Depan Lebih Gemilang’ dan Perasmian Rancangan ‘Am Glass’ dianjurkan Persatuan Cheng Ho Obor Melaka dijangka mampu menarik kedatangan pelancong ke Melaka menjelangnya Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ini kerana pameran gambar berkaitan perkembangan pembangunan dibangunkan di negara China secara keseluruhan boleh dikongsikan oleh semua rakyat termasuk pelancong asing.

Menurutnya, pameran itu juga dapat mengimbau kerjasama yang telah terjalin antara Malaysia dan China sejak 1974 terutamanya kerjasama diplomatik.

“Perkara ini penting kerana di samping kita mengajak rakyat China datang ke Malaysia sebagai pelancong, kita juga harus memberikan kesedaran kepada rakyat negara ini berkaitan sejarah kerjasama kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Di samping banyak memberi kesan kepada ekonomi dan kebudayaan antara kedua-dua negara,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Gambar ‘Bina Masa Depan Lebih Gemilang’ dan Perasmian Rancangan ‘Am Glass’ di Ho Cultural Space di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli, Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Persiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang; Pengarah Pendidikan dan Kebudayaan Ho Cultural, Zhang Jiexin dan Pengerusi Persatuan Cheng Ho Obor Melaka, Datuk Chua Lian Chye.

Adly berkata, Melaka bukan hanya dikenali oleh golongan dewasa di negara China, malah kanak-kanak juga tidak ketinggalan berikutan sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah di negara itu turut memuatkan nama Melaka yang telah menjalin hubungan dengan negara terbabit sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

China yang telah melaksanakan kerjasama industri teknologi yang besar sejak 1998 bersama Malaysia ini boleh dikongsikan bersama rakyat di Malaysia dan Melaka menerusi pameran berkenaan.

CATEGORIES