Kerja baik pulih tapak warisan usang bakal dilaksana – PERZIM

Kerja baik pulih tapak warisan usang bakal dilaksana – PERZIM

BANDAR HILIR 3 Jan. – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan melakukan kerja-kerja baik pulih di beberapa tapak warisan yang usang termasuk kediaman Munshi Abdullah terletak di Kampung Ketek, di sini.

Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md. Saleh berkata, pihaknya akan melihat semula kediaman ‘Bapa Sasterawan Melayu Moden’ itu dan jika perlu, PERZIM akan membuat kerja-kerja baik pulih.

Bagaimanapun jelas Fadhilah, tanah di tapak rumah tersebut merupakan tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan perbincangan bersama MAIM dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu diadakan sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Pada masa sama, cetakan risalah berkaitan Munshi Abdullah juga akan dilakukan dan akan ditempatkan di pusat-pusat penerangan pelancongan selain menyebarluaskan maklumat berkaitan di media-media sosial bagi mempromosikannya.

“Selain itu, PERZIM akan perbanyakkan papan-papan tanda tunjuk arah bagi memudahkan orang ramai termasuk pelancong melawat rumah terbabit.

“Kerja-kerja mempromosikan kediaman Munshi Abdullah akan dilaksanakan bersama Makam Syamsudin Al-Sumatrani terletak bersebelahan rumah terbabit,” jelasnya.

Fadhilah berkata demikian kepada MelakaKini ketika diminta mengulas saranan Ketua Menteri, Adly Zahari yang mahukan PERZIM tingkatkan usaha mempromosikan produk pelancongan termasuk kediaman Munshi Abdullah dalam usaha menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) ini.

“Pada masa sama, PERZIM juga akan mengadakan perbincangan bersama agen-agen pelancongan untuk memasukkan lokasi jadual lawatan mereka ke dalam pakej yang mereka sediakan,” jelasnya.

137 Shares
CATEGORIES
TAGS