Kerajaan negeri cari jalan bantu peniaga kecil

Kerajaan negeri cari jalan bantu peniaga kecil

AYER KEROH 9 Jan. – Kerajaan negeri akan membantu kumpulan peniaga kecil di negeri ini berhubung isu lokasi menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, semua jabatan dan agensi terlibat perlu memainkan peranan membantu golongan tersebut mendapatkan punca pendapatan khususnya golongan B40.

Beliau menegaskan, setiap pihak terlibat berperanan menyelesaikan masalah golongan terbabit terutama kaum Melayu dan Bumiputera dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengatasi permasalahan itu.

Ujarnya, pihak terlibat perlu menghiraukan ancaman sesetengah pihak dalam memajukan kaum Melayu seperti menyediakan tempat bersesuaian buat peniaga kecil dalam mencari nafkah.

“Berikutan permasalahan ini, ada antara peniaga yang beroperasi di kawasan tanah kerajaan dan di lokasi yang tidak dibenarkan.

“Jadi, kita perlu berbincang dan fikir bagaimana cara untuk selesaikan masalah ini seperti berniaga di tempat disediakan kerajaan atau cara lain bagi membela nasib kaum Bumiputera.

“Malah, saya harap peniaga kecil perlu berikan kerjasama disebabkan ada antara mereka tidak mahu berniaga di tempat disediakan, jadi kita akan selesaikan masalah ini dan cari jalan supaya mereka boleh berniaga di tempat sesuai.

“Kita lihat peniaga merupakan golongan masyarakat yang cukup berdikari dalam mencari nafkah, jadi kerajaan cari cara lain dan tidak boleh biarkan mereka yang tidak layak menerima lesen perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Negeri, Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama di Seri Negeri dekat sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan perlaksanaan yang akan diambil terhadap isu gerai menjual air kelapa yang beroperasi di Stadium Tun Fatimah.

Berikutan itu, peniaga di kawasan tersebut didapati berniaga di bawah pencawang elektrik selain ada yang berniaga di bahu jalan yang akan mengganggu keselamatan pengunjung.

1.42K Shares
CATEGORIES