Kerajaan beku kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya

Kerajaan beku kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya

KUALA LUMPUR – Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya seluruh negara bagi semua kelas kenderaan bermula tahun 2019, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata pembekuan komprehensif itu adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat Malaysia.

“Jemaah Menteri pada 12 Dis telah bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun 2019.

“Kerajaan juga menganggarkan pembekuan kadar tol itu akan melibatkan kos bayaran pampasan yang dianggarkan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat untuk tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Lebuhraya terlibat ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

“Lebuhraya yang lain adalah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JPP2) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

“Sebagai contoh, kadar tol 2019 bagi MEX (Plaza Tol Utama Putrajaya) berdasarkan perjanjian konsensi adalah RM4.90, manakala DUKE ialah RM3.30 namun kerajaan memutuskan membekukan kenaikan kadar tol itu,” katanya.

Lim berkata kerajaan juga bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas 5 (bas) dengan anggaran kos RM1.68 juta di lapan lebuh raya berasingan.

“Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (LATAR), NPE dan SPRINT.

“Secara keseluruhannya, pembekuan kadar tol (21 lebuh raya dan bas) serta pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pertama Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Jan ini akan melibatkan anggaran kos kerajaan sebanyak RM994.43 juta bagi 2019,” katanya.

Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan dan pembekuan kadar tol ini adalah sebahagian daripada usaha itu, katanya.

354 Shares
CATEGORIES