Kempen larangan merokok : 28 perokok tegar diberi amaran

Kempen larangan merokok : 28 perokok tegar diberi amaran

BANDARAYA MELAKA 10 Jan. – Sebanyak 28 perokok tegar diberi amaran kerana melakukan kesalahan merokok di premis makanan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan mulai 1 Januari lalu.

Selain itu, sebanyak 169 pemilik dan pengusaha kedai makan dari 272 buah yang diperiksa di tiga daerah di negeri ini telah diberi notis kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok yang ditetapkan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 1,935 keping risalah antimerokok diedarkan kepada pengusaha kedai makan.

“Daripada 28 perokok yang diberi amaran, 21 darinya melakukan kesalahan merokok dalam premis makanan di sekitar daerah Jasin, tujuh di Melaka Tengah manakala tiada kes di Alor Gajah.

“Walaupun rata-rata perokok kini sudah maklum larangan tersebut dikuatkuasakan sejak awal tahun ini, tetapi kita dapati tahap kesedaran pengusaha tentang usaha meletakkan tanda larangan merokok masih agak rendah,” jelasnya.

Chee Leong berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai operasi pemeriksaan kempen larangan merokok di premis makanan yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di Jalan Hang Tuah, baru-baru ini

Turut serta dalam operasi tersebut, Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Inspektokrat dan Perundangan JKN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.

Operasi selama dua jam itu melibatkan 20 anggota dan pegawai PKD Melaka Tengah dan JKN Melaka bermula jam 3.30 petang memeriksa lebih 20 premis makanan di sepanjang jalan berkenaan.

CATEGORIES