Kembara Merdeka Jalur  Gemilang rentasi 7 negeri

Kembara Merdeka Jalur Gemilang rentasi 7 negeri

WARGA MBMB bersama jabatan terlibat mengibarkan Jalur Gemilang.

 

AYER KEROH 19 Ogos – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang membawa mesej kepada rakyat supaya terus mengibarkan bendera tersebut bagi mengingati hari bersejarah pada setiap tanggal 31 Ogos.

Timbalan Menteri Kementerian Industri Utama, Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, program itu akan kekal relevan dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dengan membawa mesej kepada rakyat.

Menurutnya, setipa tahun ianya akan diadakan bagi merentasi tujuh negeri sebelum sampai ke destinasi berikutnya.

“Kali ini Jabatan Penerangan Malaysia selaku hos kepada program ini dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan yang turut disertai anggota kelab motosikal ST-13 berjaya merentasi tujuh negeri sebelum sampai ke Melaka.

“Usaha ini perlu kerana 31 Ogos merupakan hari penting dan bersejarah yang perlu disambut secara besar-besaran dengan penuh rasa muhibbah dan kemesraan oleh seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan & Flagg Off Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Muhammad Jailani Khamis.

Jelasnya, pemilihan lokasi MBMB dijadikan simbolik penyatuan kepada empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin(MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“PBT sebagai lapisan ketiga pentadbiran yang punyai fungsi signifikan bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan sesebuah negeri.

“Pengurusan pentadbiran sesebuah negeri amat rapat dengan PBT kerana usaha untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa dan terjamin keselamatan, turut menjadi tanggungjawab PBT,” katanya.

Justeru, Shamsul berharap warga kerja PBT dapat bekerja dengan dedikasi dan cemerlang serta sentiasa bertindak responsif terhadap aduan melibatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam aspek pembangunan negeri mahupun negara, PBT adalah barisan utama merealisasikan aspirasi kemajuan negara, saya percaya seluruh warga PBT adalah wira pada rakyat Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Azmi Hussien.

CATEGORIES
TAGS