Kejohanan Futsal Piala Yang Dipertua MPHTJ melebihi sasaran

Kejohanan Futsal Piala Yang Dipertua MPHTJ melebihi sasaran

AYER KEROH 28 Dis. – Kejohanan Futsal Piala Yang Dipertua MPHTJ berjaya menarik 40 penyertaan pasukan, sekali gus melepasi sasaran sebanyak 30 pasukan.

Kejohanan anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu akan diadakan pada 29 Disember ini sempena Sambutan Hari Perbandaran MPHTJ Ke-9.

Yang Dipertuanya, Mahani Masban berkata, kejohanan itu platform bagi menyihatkan masyarakat setempat terutama golongan remaja dan belia.

Menurutnya, ia juga mampu memupuk perpaduan antara pasukan selain mengenal pasti bakat baru dalam permainan futsal.

“Kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan pasukan dari Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Melaka.

“Hadiah tempat pertama bernilai RM1,000 berserta piala dan medal, naib juara RM500 dan medal dan tempat ketiga RM250 berserta medal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Publisiti Awam Rancangan tempatan MPHTJ (Pengubahan) 2025 di Melaka Mall, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahani berkata, MPHTJ akan mengadakan ‘iRun Hang Tuah Jaya Fun Run 2018’ dan program Sumbangan Kembali ke Sekolah pada 30 Disember ini.

“Pelepasan larian jam 7.30 pagi itu dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di hadapan Melaka Mall.

“Peserta perlu mengikut larian sejauh 5 kilometer bermula di Melaka Mall dan berakhir di lokaasi sama,” katanya setakat ini seramai 1,500 penyertaan telah diperolehi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Tey Kok Kiew.

CATEGORIES