Kegiatan mengutip derma : Denda RM2,000 atau penjara 18 bulan jika sabit kesalahan

Kegiatan mengutip derma : Denda RM2,000 atau penjara 18 bulan jika sabit kesalahan

BUKIT PALAH 11 Jan. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memandang serius kegiatan mengutip derma di tempat-tempat awam seperti pasar raya, medan selera, stesen minyak dan di bank-bank.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, perbuatan memohon derma tanpa kebenaran melanggar peraturan dalam Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Seksyen 89).

Katanya, sesiapa membuat atau mengambil bahagian dalam sesuatu pungutan yang bertentangan dengan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) 1991 merupakan satu kesalahan.

Menurutnya, jika didapati bersalah, mereka boleh hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Mahkamah juga hendaklah memerintahkan supaya wang yang dipungut dirampas dan diserahkan kepada pihak Baitulmal,” katanya kepada MelakaKini.

Rahimin berkata, tahun lalu sebanyak 28 tangkapan telah dibuat, manakala tahun 2017 sebanyak 35 kes berjaya diselesaikan dan semua tangkapan berdasarkan aduan orang ramai dan hasil pemantauan JAIM.

“Tahun ini, JAIM dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung,” katanya.

Ujarnya, kegiatan mengutip derma ini turut melibatkan warga asing khususnya dari negara Thailand.

“Justeru, orang ramai dingatkan supaya tidak terperangkap dengan kegiatan kutipan derma berkenaan.

“JAIM juga mengesan terdapat kegiatan mengutip derma menggunakan kaedah pelaris berunsurkan tangkal, contohnya seperti duit lama,” katanya.

Dakwa Rahimin, kegiatan derma ini dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan meletakkan tong derma di hadapan pasar raya, bank atau mana-mana bangunan.

“Mereka kemudiannya akan mengambil semula tong tersebut pada sebelah petang atau malam.

“Pihak pengurusan pasar raya atau bangunan terlibat diminta membuat pantauan dan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kutipan derma di tempat awam tertakluk kepada kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PDRM.

JAIM juga mengedarkan risalah dan poster berkaitan sindiket kutipan derma kepada orang awam sebagai langkah berjaga-jaga.

CATEGORIES