Kedah mahu contohi transformasi Sungai Melaka

Kedah mahu contohi transformasi Sungai Melaka

AYER KEROH 7 Dis. – Kerajaan Negeri Kedah mahu mencontohi kemajuan sektor pelancongan di Melaka terutama melibatkan aktiviti pelancongan di kawasan Sungai Melaka menerusi lawatannya ke negeri ini selama tiga hari bermula semalam.

Exco Belia &Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, ketika ini pendapatan kerajaan Kedah tertumpu kepada industri pembalakan semata-mata dan pelancongan yang tertumpu di Langkawi sahaja.

Beliau berkata, oleh itu kerajaan negeri sedang meninjau sumber baharu bagi menggantikannya kerana tidak mampu menyumbang penjanaan kekayaan negeri.

Mohd Asmirul berkata, negeri kelahiran Hang Tuah ini yang terkenal dengan pembangunan dan kemajuan Sungai Melaka dan diiktiraf sebagai salah satu ikon pelancongan negara adalah antara sebab mengapa Melaka dipilih sebagai destinasi lawatan kerja Negeri Kedah.

“Saya lihat keadaan Sungai Kedah dan Sungai Melaka tidak jauh beza dan kita akan memanfaatkannya bagi perkasakan industri pelancongan Kedah menerusi lawatan kerja ini.

“Rancangannya telah ada untuk mewujudkan semula laluan utama di Sungai Kedah seperti suatu ketika dulu untuk pergi ke Pekan Cina, Pekan Melayu, Pekan Rabu dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, rombongan kerja Kedah ke Thailand baru-baru ini turut memberikan reaksi positif.

Mohd Asmirul berkata, berhubung lawatan itu, kerajaan Thailand menyuarakan kebimbangan terhadap pola pelancong yang tertumpu di kawasan pelancongan di Phuket dan memohon Kedah mencari jalan menarik minat mereka berkunjung ke Langkawi.

“Pihak Thailand beritahu mereka tidak lagi menampung pelancong di Phuket dan memohon Kedah mencari jalan ‘tap’ sebilangan pelancong untuk ke Langkawi.

“Kita melihat ia sebagai peluang untuk memperkasakan sektor pelancongan, justeru ia menyumbang kepada sektor ekonomi negeri,” katanya.

Terdahulu, Mohd Asmirul yang hadir bersama kira-kira 80 delegasi kerajaan Kedah telah diraikan Ketua Menteri, Adly Zahari pada Majlis Makan Malam sempena lawatan kerja tersebut di Seri Bendahara di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Azmi Hussain.

258 Shares
CATEGORIES