Kawasan kumbahan bakal jadi tapak perumahan

Kawasan kumbahan bakal jadi tapak perumahan

AYER KEROH 26 Jun – Kerajaan negeri berminat membangunkan kawasan kumbahan di negeri ini menerusi pelaksanaan projek perumahan mampu milik bagi menyelesaikan masalah perumahan membabitkan kalangan rakyat di negara ini.

Hasrat itu dinyatakan Ketua Menteri, Adly Zahari memandangkan keluasan tanah di kawasan tersebut didapati sesuai diusahakan sebagai kawasan perumahan menerusi kolaborasi teknologi tinggi dari Korea.

Adly berkata, idea membina projek perumahan di kawasan kumbahan di seluruh negeri ini merupakan idea kreatif yang dijana bagi mengurangkan penggunaan tanah bagi melaksanakan projek pembangunan khususnya kawasan perumahan.

Katanya, ramai orang tidak tahu bahawa Korea sangat ‘advance’ dalam teknologi memajukan projek perumahan di kawasan kumbahan, sekali gus dapat menjamin persekitaran lebih berkualiti bagi menangani masalah berkaitan kos perumahan di negeri ini.

“Dalam konteks kemajuan teknologi dari Korea ini, transformasi di kawasan kumbahan ini mampu menjadikan kawasan yang sinonim dengan takungan sisa pepejal dan najis itu sebagai tapak perumahan baharu.

“Saya dah maklumkan kepada Syarikat Perumahan Melaka melihat balik kawasan-kawasan kumbahan yang ada di bandar ini kerana dengan membangunkan kawasan tersebut, kerajaan dapat mengurangkan modal bagi membiayai kos tanah,” katanya.

Menurut Adly lagi, sekiranya perkara tersebut dapat dilaksanakan, rumah-rumah rakyat ini boleh wujud di kawasan bandar dan ini antara perkara yang pihaknya sedang usahakan.

“Syarikat perumahan juga sudah memberi kenyataan dan mereka juga sedang berusaha membangunkan kawasan kumbahan ini sebagai tapak perumahan baharu.

“Sesuai dengan slogan Pintar, Hijau dan Bersih, dengan teknologi yang dibawa ini membolehkan aspek kepintaran itu diterjemahkan dari negatif kepada positif.

“Ramai orang fikir kawasan kumbahan tidak boleh dibangunkan, tetapi pada masa akan datang tidak mustahil ia akan jadi kawasan perumahan kerana tanpa idea ini kerajaan perlu membeli tanah untuk membangunkan projek perumahan dengan kos yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Kata Adly, kerajaan turut prihatin untuk memajukan tiga pelabuhan iaitu Melaka Gateway, Tanjung Beruas dan Kuala Linggi.

“Ini adalah antara perkara yang kita beri tumpuan juga, sebab untuk memajukan Melaka kita memang perlukan pelabuhan bagi membolehkan kawasan industri berkembang.

“Jadi kita kena imbang keperluan dalam kalangan rakyat dan juga pembangunan yang kita laksanakan,” katanya.

481 Shares
CATEGORIES