Karya ‘Dalam Nano Ada Gema Jalur’ sentuh unsur alam kemanusiaan

Karya ‘Dalam Nano Ada Gema Jalur’ sentuh unsur alam kemanusiaan

BANDAR HILIR 1 Nov. – Sebanyak 40 karya bertemakan ‘Dalam Nano Ada Gema Jalur’ dipamerkan di Bastion House bermula 1 November hingga 3 Disember depan.

Mazlan Noor atau ‘Along’ bukanlah satu nama asing di Malaysia. Pelukis atau penyair veteran berasal dari Serkam Melaka ini banyak menghasilkan karya universal dan berunsurkan keagamaan.

Kali ini sentuhan karyanya berada di fasa ‘Nano’ yang menyentuh mengenai sel dan tisu serta alam kemanusiaan.

Karyanya begitu diminati dan mendapat perhatian masyarakat pelbagai bangsa dan agama, beliau juga mempunyai peminat tersendiri dari Indonesia.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas berkata, pameran lukisan semakin mendapat tempat peminat seni visual.

Menurutnya, dahulu karya seni biasanya dibeli oleh pengusaha hotel dan juga pengumpul seni, kini ia diminati oleh individu untuk dipamerkan di kediaman masing-masing.

“Ini menunjukkan masyarakat punyai kesedaran dan minat terhadap nilai estetika yang ada dalam karya seni dan menjadikannya sebagai penyeri kediaman.

“Ia mampu menjadi pemangkin perkembangan seni visual negara, sekali gus melahirkan lebih ramai penggiat seni setanding negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pameran Lukisan ‘Dalam Nano Ada Gema Jalur’ di Bastion House, hari ini.

Pameran itu telah disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A.Kasim.

Khamis berharap pameran itu menarik minat generasi muda menceburkan diri dalam bidang seni.

“Bidang seni sangat berpotensi diketengahkan sebagai sebuah industri kreatif yang mampu memberi pulangan lumayan kepada sektor ekonomi individu dan negara,” katanya.

CATEGORIES