Karnival Sukan IPT Melaka, kontinjen UTeM beri saingan hebat

Karnival Sukan IPT Melaka, kontinjen UTeM beri saingan hebat

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi kontinjennya telah memberikan saingan hebat dalam Karnival Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Melaka, baru-baru ini.

Saingan tersebut telah membuahkan hasil, sekali gus membawa pulang tiga pingat dirangkul oleh kontinjen UTeM.

Satu pingat perak diungguli menerusi acara ragbi dan dua pingat gangsa melalui acara badminton dan sepak takraw.

Karnival Sukan IPT Melaka itu merupakan program tahunan anjuran Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) melalui unit IPT, Jabatan Ketua Menteri & IPT negeri.

Pada tahun ini menyaksikan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menjadi tuan rumah temasya melibatkan penyertaan kira-kira 46 buah IPTA/S di Negeri Melaka.

Karnival itu membabitkan lima acara utama telah dipertandingkan iaitu bola sepak 9 sebelah, sepak takraw, badminton, bola jaring dan ragbi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap berkata, kontinjen UTeM telah mempamerkan aksi hebat dalam Karnival Sukan IPT Melaka yang masuk tahun ke-5 penganjurannnya.

Menurutnya, menerusi temasya itu, para atlet yang terlibat dengan pelbagai acara turut sama berkongsi pengalaman, kemahiran serta pencapaian pasukan masing-masing, sekali gus mewarnai kejohanan tahun ini.

Jelasnya, tidak dinafikan penganjuran karnival ini secara tidak langsung menjadi medan pertemuan bagi merapatkan hubungan pihak pengurusan IPTA/S serta Kerajaan Negeri Melaka.

Terutama unit IPT, TAPEM dan Jabatan Ketua Menteri yang terlibat dalam hal-hal membabitkan unit pengajian tinggi negeri ini.

124 Shares
CATEGORIES