Kanak-kanak ‘menjaja’ cacat imej pelancongan Melaka – Wan Azniza

Kanak-kanak ‘menjaja’ cacat imej pelancongan Melaka – Wan Azniza

BANDAR HILIR 7 Dis. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah telah mengesan beberapa individu kanak-kanak yang menjaja buah-buahan dan tisu di lokasi utama pelancongan Melaka, di sini semalam.

Penolong Pegawai JKM Melaka Tengah, Wan Azniza Hanum Ahmad berkata, aktiviti tersebut telah mencacatkan imej pelancongan negeri sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi oleh pengunjung luar.

Katanya, pihaknya telah menjalankan satu operasi  bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan aktiviti tersebut dan mengeluarkan notis amaran kepada mereka.

Ujarnya, sekiranya mereka yang terlibat masih berdegil mahu meneruskan aktiviti itu, pihaknya akan menyerahkan kepada polis bagi membuka kertas siasatan yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 30 (1) Akta Kanak-kanak 2001 ke atas ibu bapa mereka.

“Kami di pihak JKM menyeru ibu bapa agar lebih bertanggungjawab mengawasi anak-anak tanpa mempergunakan mereka untuk menyara keluarga.

“Hasil siasatan dijalankan sebelum ini kebanyakan ibu bapa yang terlibat dalam aktiviti tersebut adalah tidak bekerja, malah menerima bantuan bulanan oleh JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Lebih 20 kanak-kanak dalam lingkungan 5 hingga 15 tahun terlibat dalam aktiviti tersebut dicatatkan di sekitar Melaka Tengah dalam tempoh tahun ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Jelasnya, mereka akan mula menjaja selepas tamat sesi persekolahan pada hari Jumaat hingga Ahad dan aktiviti itu terus meningkat apabila tiba musim cuti persekolahan.

Ujarnya aktiviti menjaja itu akan berlarutan dari petang sehingga ke larut malam dan berdasarkan laporan diterima dari talian Kasih, majoriti laporan mendakwa mereka memaksa pelanggan membeli barangan mereka.

“Ramai ibu bapa yang tinggal di dua lokasi flat perumahan di negeri ini tidak bekerja dan gunakan anak mereka untuk mencari rezeki.

” Ini merupakan satu kesalahan dan di manakah tanggungjawab dan peranan sebagai ibu bapa untuk menjaga anak-anak?

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana ianya akan melibatkan beberapa faktor keselamatan kanak-kanak disebabkan mereka menjaja di tepi jalan, malah akan menyumbang kepada jenayah seperti penculikan kanak-kanak,” katanya.

Operasi tersebut bermula jam 11 pagi dengan kekuatan 23 anggota penguatkuasa dari tiga agensi itu diadakan di sekitar kawasan pelancongan yang merupakan lokasi sasaran kanak-kanak menjaja kepada pengunjung luar.

CATEGORIES
TAGS