‘Kalau saya dibedah, anak nak makan apa?’

‘Kalau saya dibedah, anak nak makan apa?’

ALOR GAJAH 4 Dis. – “Ketika saya sihat, bolehlah saya dan isteri hidup senang sedikit bersama anak-anak, walaupun gaji yang diterima tidak banyak.

“Namun, sejak ditimpa kemalangan pada Ogos tahun lepas, segalanya berubah, kehidupan kami agak terjejas dan hanya bergantung harap kepada isteri, ditambah lagi sehingga kini bayaran pampasan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga masih belum diterima,” luah N. Kalaiselvam, 50.

KALAISELVAM menunjukkan bengkung yang dipakainya bagi menahan kesakitan.

Lebih memeritkan, bapa kepada lima orang anak ini berkata, akibat kemalangan tahun lalu, dia turut dibuang kerja semasa masih bercuti sakit.

Jelasnya, dia yang sepatutnya melakukan pembedahan tulang belakang susulan kemalangan itu terpaksa menangguhkan rawatan dan hanya bergantung kepada ubat tahan sakit kerana tidak punyai kewangan yang cukup.

“Selagi saya mampu tahan saya cuba, walaupun hampir setiap malam tidak mampu melelapkan mata kerana kesakitan yang dialami.

“Tetapi, untuk anak-anak saya gagahi juga, kerana risau tiada juadah yang akan dijamah isteri dan anak-anak, jika gaji diterima isteri dibelanjakan untuk rawatan saya,” katanya.

Berhubung permohonan pampasan Perkeso, Kalaiselvam pernah menggunakan agen dilantik yang berjanji membantunya, namun kemudiannya berdiam diri selepas wang pendahuluan diberikan.

“Pada mulanya agen ini memberitahu, dia mampu menolong saya dengan syarat bayaran pendahuluan diberikan terlebih dulu, namun kemudiannya ghaib tanpa sebarang berita selepas wang deposit dibayar.

“Sudahlah syarikat tidak mahu menanggung, wang yang ada pula ditipu agen kononya mahu membantu, saya tidak tahu apa nasib saya dan keluarga,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia juga agak terkilan dibuang kerja semasa masih bercuti sakit.

“Mereka kata saya melarikan diri, saya telah berkhidmat di syarikat tersebut lebih 10 tahun, tetapi sejak saya ditimpa musibah, tiada seorang pun (wakil syarikat) jenguk keadaan saya dan keluarga,” katanya.

CATEGORIES
TAGS