Jawatan Ketua Menteri hanya 2 penggal

Jawatan Ketua Menteri hanya 2 penggal

BANDARAYA MELAKA 27 Mei – Pakatan Harapan (PH) negeri akur tawaran yang dilakukan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu apabila mereka bersedia menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, di peringkat negeri ini, beliau sendiri akan membuat ketetapan bahawa jawatannya memang untuk dua penggal sahaja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco akan datang.

“Masa yang ada ini cukup bagi kita untuk berkhidmat. Itu sebab bagi seorang Ketua Menteri, setiap hari itu penting bagi dia kerana peluang untuk dia berkhidmat hanya dalam tempoh itu.

“Kalau kita gunakan konsep ini, semua orang diberikan tempoh masa serta berkhidmatlah untuk tempoh itu dan selepas dari itu kita yakin ada orang lain yang boleh menggantikan kita untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka sama ada akan mengikuti Pulau Pinang serta Negeri Sembilan yang menghadkan jawatan Menteri Besar kepada dua penggal sahaja.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang akan meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan cadangan menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal dilaksanakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya membuat pindaan kepada perlembagaan negeri dan penasihat undang-undang negeri diminta meneliti dan kaji bagaimana meminda perlembagaan negeri bagi melaksanakan janji yang dibuat berhubung perkara tersebut.

CATEGORIES