Jalan Pantai Nekmat bagai ‘dibom’

Jalan Pantai Nekmat bagai ‘dibom’

KEADAAN tempat pembuangan sampah yang menjijikkan dan meloyakan sesiapa yang melalui jalan tersebut.

BAGAIKAN selepas ‘dibom’. Itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan keadaan jalan yang rosak teruk di Jalan Pantai Nekmat, Muara Sungai Duyong.

Permukaan jalan berpasir, berlubang dan merekah bagaikan selepas ‘perang dunia kedua’ itu tidak ubah seperti perangkap maut yang hanya menunggu mangsa terutama penunggang motosikal.

MelakaKini difahamkan, kerosakan jalan di kawasan itu berlaku sejak sekian lama dan tiada tindakan diambil oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan jabatan berkaitan.

Lebih teruk lagi, laluan sepanjang kira-kira 1.2 kilometer itu bagai menanti untuk meragut nyawa pengguna jalan tersebut pada bila-bila masa sahaja.

MelakaKini dimaklumkan bahawa kerja-kerja penurapan jalan tersebut kali terakhir dilakukan kira-kira belasan tahun lalu dan sejak itu tiada kerja-kerja penurapan dilakukan sehingga kini.

Malah, disebabkan keadaan jalan seperti selepas perang itu, para nelayan di kawasan itu mengambil inisiatif sendiri menimbus lubang dan kerosakan jalan tersebut menggunakan batu hancur.

ZAMRI

Seorang penduduk, Muhamad Zamri Alias,35, berkata, jalan di sini tidak pernah diambil peduli sejak sekian lama.

Menurutnya, jalan ini cantik jika dijaga kerana punyai pemandangan perkampungan dan jeti nelayan yang tidak mungkin dapat dilihat di tempat lain.

“Keadaan jalan yang teruk dan merbahaya ini memberi imej negatif pada kerajaan kerana ia sering digunakan pelancong luar setiap hari.

“Saya lihat jalan-jalan di sekitar Melaka yang tidak rosak teruk senang saja diturap dan diperbaiki, tetapi Jalan Pantai Nekmat, Muara Sungai Duyong sudah berbelas tahun teruk, tetapi tiada tindakan diambil,” ujarnya kepada ketika ditemui.

Sepanjang Jalan Pantai Nekmat, Muara Sungai Duyong dapat dilihat longgokan sampah sarap dibiarkan bersepah hingga merosakkan pandangan.

BOT terbiar sehingga dipenuhi semak samum menjadi sarang haiwan dan serangga berbahaya.

Laluan Pantai Nekmat Muara Sungai Duyong merupakan laluan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati ikan bakar di Hub Nelayan Medan Ikan Bakar Segar Hj. Musa, sekali gus memberi imej buruk terhadap kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

Longgokan jaring rosak, tayar kereta terbiar dan pelbagai barang buang lain sepanjang jalan tersebut turut menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan di kawasan itu.

Lebih mencacatkan pemandangan, kawasan pembuangan sampah juga dibiarkan bersepah dan hanya satu sahaja tong sampah besar disediakan.

Kontraktor, Jamil Ehsan, 53, berkata, dia bersama keluarga terkilan dengan keadaan jalan tersebut yang rosak teruk dan membahayakan.

“Saya datang dari Pahang untuk menikmati ikan bakar di sini, tetapi pemandangan sebegini serta bau di kawasan pembuangan sampah sudah meloyakan saya sekeluarga, katanya.

Katanya, dia terpaksa perlahankan kenderaan apabila melalui jalan yang ditambak dengan batu hancur di kawasan itu bagi mengelak lubang di sana-sini.

LONGGOKAN jaring tidak digunakan menjejaskan imej kawasan tersebut.

“Permukaan jalan yang pecah dan tidak rata juga berisiko kepada penunggang motosikal terutama pada waktu malam dan hujan lebat,” ujarnya.

Semasa tinjauan MelakaKini, dapat dilihat terdapat sebuah bot terbiar sehingga dilitupi semak samun dan boleh menjadi sarang haiwan dan serangga berbahaya seperti ular dan lain-lain.

Lambakan tayar terbiar secara terbuka di sepanjang laluan itu juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Malah, di satu kawasan jeti terdapat air bertakung setiap kali hujan kerana tidak punyai sistem perparitan yang sempurna.

Jaring rosak dan terbiar yang mencacatkan pemandangan seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja.

Malah, dapat dilihat berdekatan kedai Char Kuey Teow Stesen Kandang terdapat longgokan bahan buangan pembinaan oleh pihak tidak
bertanggungjawab.

Sehubungan itu, pihak berwajib digesa segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di situ bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.

CATEGORIES
TAGS