Isu 1MDB dalam subjek Sejarah Malaysia tidak tepat – Shahrul

Isu 1MDB dalam subjek Sejarah Malaysia tidak tepat – Shahrul

PUTRAJAYA 4 Dis. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tidak menyebut kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia.

Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, kenyataan itu disalah tafsir oleh media yang mengatakan ianya akan dimasukkan ke dalam subjek itu.

Katanya, melalui kenyataan disebut Maszlee ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, beliau hanya menyebut isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia.

Jelasnya, laporan media memetik seolah-olah Maszlee mengatakan kes 1MDB dimasukkan dalam subjek Sejarah Malaysia adalah tidak tepat.

Ujarnya, sama ada ia akan dimasukkan kepada silibus, itu terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“KPM tiada halangan sekiranya isu 1MDB dijadikan sebagai kajian kes di Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana ia merupakan isu yang mendapat perhatian ramai pihak dalam dan luar negara melibatkan tadbir urus, akauntabiliti dan budaya berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

CATEGORIES