IoT perintis kehidupan masa kini

IoT perintis kehidupan masa kini

AYER KEROH 11 Jan. – ‘Internet of Things’ (IoT) atau objek rangkaian internet merupakan teknologi melibatkan mesin atau peranti pintar yang saling berkomunikasi dengan pendekatan mesra pengguna dan canggih.

Secara khususnya, IoT ini merupakan perintis kepada segala bentuk kemudahan buat rakyat di negara ini selari dengan perkembangan Malaysia yang menghampiri status negara maju tidak lama lagi.

Justeru itu, satu jalinan kerjasama telah diadakan antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia (TM) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) untuk menubuhkan Melaka Artificial Intelligence of Things (MAIoT).

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee berkata, menyedari tentang betapa pentingnya peranan IoT tersebut, Kerajaan Negeri Melaka mengambil perkara tersebut secara serius memandangkan IoT diaplikasikan secara harian oleh masyarakat pada hari ini.

“IoT kini bukan lagi jenis teknologi yang asing, sebaliknya pada hari ini kita dapat lihat ia digunakan dalam rutin harian masyarakat negara serta negeri ini amnya.

“Bandar pintar, rumah pintar, masyarakat berdigital, sistem berkuasa Artificial Intelligence (AI), data berkapasiti besar, akses sistem ‘cloud’ dan sebagainya adalah antara yang penggunaan yang paling kerap digunakan oleh masyarakat umum kini.

“Saya percaya, bagi memastikan negara kita maju, kita perlu memahami ekonomi kemajuan teknologi, di mana merangkumi tiga aspek iaitu teknologi serta produk, bakat, dan permintaan pasaran di mana ia memainkan peranan yang amat penting,” katanya menerusi dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, setiap inci masyarakat negara ini wajar dididik bagi memahami fungsi sebenar IoT ini jika mahu melihat setiap pelaburan melibatkan pembangunan IoT dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

CATEGORIES
TAGS