Inisiatif PMPM beri pendedahan hak pengguna

Inisiatif PMPM beri pendedahan hak pengguna

ALOR GAJAH 12 Feb. – Pelbagai inisiatif diambil Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) untuk mendekati dan memberi pendedahan terhadap hak pengguna sekali gus mampu membentuk jalinan antara penduduk bersama organisasi tersebut.

Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata, inisiatif yang dijalankan badan terbabit termasuk mengadakan tinjauan mesra seperti di Pusat Perniagaan Jelatang, di sini, dengan mendekati pengguna melalui pelbagai kempen.

Menurutnya, kempen berkenaan bertujuan membina sistem komprehensif dengan memberi maklumat terkini berkaitan maklumat kepenggunaan, kesihatan dan keselamatan kepada penduduk setempat.

“Kami berpeluang beramah mesra bersama penduduk dan ia mampu menjalinkan hubungan baik antara organisasi kami bersama mereka. Antara kempen yang dilaksana seperti ‘Lapan Hak Pengguna Tahukah Anda?, ‘Know Your Medicine dan juga ‘Kesedaran Keselamatan di Stesen Minyak’.

“Pada masa sama, program yang diadakan secara santai ini mampu memberi ruang penduduk untuk mengadu setiap masalah yang dihadapi, sekali gus memberi manfaat kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, selain ia dilihat mampu menyebarkan ilmu keselamatan, kesihatan dan kepenggunaan dalam sesebuah komuniti, ia juga dapat mengukuhkan perpaduan dan keyakinan penduduk dalam menjalani kehidupan seharian.

CATEGORIES