Industri halal buka potensi masa depan usahawan

Industri halal buka potensi masa depan usahawan

AYER KEROH 6 Mac – Pembangunan industri halal mampu membuka potensi luas melibatkan pelbagai peringkat masyarakat yang menceburi bidang keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, pertumbuhan ekonomi halal dilihat memberangsangkan dan dijangka hampir RM25 trilion mampu dikutip melalui perdagangan ekonomi halal global.

Menurutnya, industri berkenaan merupakan dumber ekonomi baharu dalam pertumbuhan ekonomi dunia yang merangkumi dari pelbagai jenis produk termasuk makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik serta pelbagai lagi sekali gus memacu ekonomi Islam secara global.

“Kementerian mahu jadikan Malaysia sebagai pemimpin industri halal malah komited membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menembusi pasaran global dan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Melalui usaha ini ia akan mempergiatkan lagi promosi industri halal Malaysia ini ke luar negara sebagai contoh Jepun yang selaku tuan rumah pada ‘Sukan Olimpik 2020’ nanti.

“Kami sasarkan keperluan makanan halal dalam tempoh sebulan sepanjang sukan itu berlangsung adalah tidak kurang RM1 bilion. Malah, sesiapa sahaja yang berkecimpung bidang makanan halal atau persijilan halal boleh ambil peluang ini untuk memasuki pasaran Jepun,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan ke MelakaKini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, pelbagai perancangan membangunkan industri itu melibatkan pelaburan beberapa negara termasuk China iaitu dengan membuka industri gelatin halal di negeri ini.

Katanya, keperluan terhadap daging lembu dan kerbau yang merupakan makanan ruji masyarakat akan dibangunkan selaras menepati keperluan persediaan perayaan seperti Hari Raya Aidiladha.

“Menyedari keperluan ini, secara langsung dan tidak langsung, bukan hanya untuk rakyat tempatan khususnya Bumiputera bahkan juga kepada Malaysia.

“Pembinaan bakat keusahawanan dalam kalangan generasi muda amat penting kerana golongan ini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

“Ekosistem keusahawanan dan usahawan perlu diperhalusi bagi memperkasakan hala tuju dan matlamatnya,” katanya.

 

668 Shares
CATEGORIES