Iktiraf kecemerlangan guru & pelajar

Iktiraf kecemerlangan guru & pelajar

MERLIMAU 8 Nov. – Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’kub (SDARY) telah mengadakan Majlis Anugerah Kualiti di Dewan Ar-Rahman, sekolah terbabit, baru-baru ini.

Majlis itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar dan guru-guru yang telah berjaya menunjukkan prestasi baik dan cemerlang dalam pelbagai aspek seperti bidang kurikulum, hal ehwal murid (sahsiah) mahupun kokurikulum.

Pencapaian diperoleh itu mampu mengharumkan nama sekolah sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Majlis anugerah pada setiap tahun itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah memberi sumbangan dan bakti kepada pihak sekolah.

Selain itu, majlis itu juga bertujuan memberi motivasi kepada para pelajar dan guru-guru untuk terus bersungguh-sungguh agar prestasi sekolah dapat dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SDARY, Alvy Bartholomeus Philip.

Berucap pada majlis itu, Alvy sangat menggalakkan penganjuran majlis anugerah seperti ini kerana ia dapat memberikan penghargaan kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang kurikulum, hal ehwal murid atau kokurikulum.

“Para pelajar tersebut berjaya mengharumkan nama SDARY sama ada di peringkat kawasan, daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Selain itu, para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diraikan bersama dalam majlis ini.

Hadir sama, ibu bapa pelajar yang turut sama meraikan kejayaan dan kecemerlangan anak mereka khususnya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

CATEGORIES

COMMENTS