Hom2stay pertama di Melaka bantu golongan B40

Hom2stay pertama di Melaka bantu golongan B40

AYER KEROH 7 Feb – Inisiatif Home to Stay (hom2stay) yang baharu diperkenalkan di negeri ini dilihat mampu meningkatkan taraf ekonomi golongan B40 dan mengurangkan isu rumah kosong.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, malah usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Generasi Muda Berjaya (GMB) itu dilihat berpotensi melonjakkan sektor penginapan mampu milik di negeri ini.

“Usaha pertama seumpamanya ini sangat bermanfaat kepada ekonomi masyarakat setempat dan kepada pelancong yang memerlukan tempat penginapan yang menawarkan harga berpatutan dan persekitaran yang selamat.

“Malah, saya yakin industri Hom2stay punya peluang besar untuk berkembang dan pada masa sama membantu perkembangan sosioekonomi masyarakat lebih- lebih lagi sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2019) ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Usahawan Hom2stay anjuran MARA Melaka dengan kerjasama GMB Melaka di Ayer Keroh, di sini, baru- baru ini.

Hadir sama, Pengarah MARA negeri, Abd Wahab Yusoff dan Pengerusi GMB, Suhairi Sulaiman.

Sehubungan itu, Norhizam menyeru mana-mana individu yang menjadikan rumah mereka secara bersendirian sebagai home2stay seeloknya berdaftar dengan MARA dan GMB bagi mendapatkan pelbagai inisiatif dan manfaat.

“Sehingga kini terdapat lebih 1,000 usahawan Hom2stay sudah berdaftar di Melaka namun saya yakin dengan adanya mereka yang datang ke hadapan, maka jumlah itu akan bertambah.

“Malah, kita menggalakkan mereka mendaftar agar memperoleh pelbagai manfaat yang disediakan MARA sama seperti pengusaha penginapan mampu milik lain seperti Inap Desa di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC),” katanya.

 

Oleh: AZURIN SHARIF

CATEGORIES
TAGS