Hasil nilai jualan menurun : FAMA Melaka lakukan penambahbaikan

Hasil nilai jualan menurun : FAMA Melaka lakukan penambahbaikan

LORONG PANDAN 4 Feb. – Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan jualan pasar tani di negeri ini kembali meningkat, sekali gus dapat menarik kunjungan pembeli

Pengarahnya, Che Samudin Hassan berkata, ini kerana jumlah nilai jualan peniaga pasar tani pada tahun lalu sebanyak RM9.7 juta, menurun RM11 juta pada 2017.

Beliau berkata, penurunan jumlah nilai jualan itu disebabkan beberapa faktor utama termasuk kurangnya kuasa pembeli pada tahun lepas selain 10 dari 28 pasar tani di negeri ini tidak aktif.

“Manakala pasar tani yang tidak aktif pula disebabkan beberapa faktor lain seperti lokasi tidak strategik atau kurang mendapat sambutan hingga menyebabkan jumlah peserta pasar tani berkurang.

“Sehingga kini, jumlah peserta di 28 pasar tani di negeri ini ialah 286 orang dan terdapat antara mereka bergerak dari satu pasar tani ke pasar tani lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Pasar Tani Khas sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2019 di Pasar Tani Lorong Pandan, Ahad lalu.

Pelancaran Pasar Tani Khas itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Seah Shoo Chin.

Hadir sama, Penyelaras Usahawan (Pasar Tani & Karavan Tani) FAMA Negeri Melaka, Azraii Kalam serta para pegawai FAMA.

Che Samudin berkata, sebanyak 12 pasar tani khas sempena TBC 2019 akan beroperasi secara berperingkat di kawasan terpilih bermula 31 Januari lalu hingga 6 Februari ini.

“Pasar-pasar tani terlibat adalah di Lorong Pandan, Bandar Alor Gajah, Pekan Merlimau, Pekan Selandar, Taman Merdeka, Bukit Katil, Pekan Lubok Cina, Masjid Tanah, Cheng Baru, Bandar Jasin, Pekan Durian Tunggal dan Kuala Sungai Baru.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, FAMA Melaka dalam usaha menarik penglibatan peserta ladang kontrak di negeri ini untuk mengumpul hasil tanaman petani kecil dan menjualnya pada harga jauh lebih murah antara lima hingga 20 peratus dari harga pasaran.

“Sekarang ini, kita sudah ada tiga peserta ladang kontrak yang menyertai jualan pasar tani agar petani kecil tidak perlu memikirkan di mana hendak memasarkan hasil tanaman mereka,” ujarnya.

CATEGORIES