Graduan UTeM berdaya keusahawanan tinggi

Graduan UTeM berdaya keusahawanan tinggi

DURIAN TUNGGAL 6 Dis. – Graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diperakui bukan hanya berkompetensi dalam bidang teknikal dan berkebolehpasaran tinggi, malah berjaya menceburi dunia keusahawanan.

Senario itu berjaya diserlahkan oleh enam graduan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM.

Mereka terdiri Muhammad Arshad Ahmad Mahdum, Fareez Shafiq, Mukmin Samad Azrul Aziz, Muhammad Syahmi Sadan, Ku Ahmad Mudrikah Ku Mukhtar, Faiz Ibrahim Sawal.

Ianya apabila mereka berjaya membina empayar perniagaan menerusi bidang pembangunan perisian dan teknologi.

Ku Ahmad Mudrikah ketika diminta mengulas mengenai perniagaan diceburinya dan rakan berkata, idea membangunkan perniagaan fokus kepada bidang pembangunan perisian.

Katanya, teknologi tersebut adalah dari minatnya yang mendalam dan menjadi fokus mereka sewaktu pengajian di UTeM.

Ujarnya, perniagaan diberi nama ‘Durian Tunggal Solution’ itu telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu memfokuskan kepada pembangunan perisian.

Menurutnya, ianya seperti permainan, aplikasi telefon mudah alih, Virtual Reality (VR), Argumented Reality (AR), sistem berasaskan laman sesawang dan latihan berkaitan teknologi.

Jelasnya, idea membangunkan perniagaan itu bermula selepas mengikuti program mobiliti pelajar ke Jerman dan Indonesia anjuran UTeM.

Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mempelajari teknologi mencipta perisian.

“Memandangkan Malaysia kini menuju ke arah perkembangan teknologi dan menekankan pembangunan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), kami memilih menubuhkan perniagaan memfokuskan kepada bidang ini supaya dapat bersama-sama merancakkan lagi bidang ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ku Ahmad Mudrikah turut berkongsi cabaran membangunkan perniagaan mereka di mana pada peringkat awal penubuhan syarikat, mereka hanya menjalankan tugasan dari rumah berbekalkan seunit komputer.

Ianya ekoran kekangan modal menyewa pejabat dan mereka menyedari bahawa cabaran-cabaran seperti itu harus ditempuh sebagai usahawan muda seperti mereka memperoleh kejayaan.

Justeru itu, dari usaha gigih mereka, maka telah membuahkan hasil seperti pemeteraian jalinan strategik syarikat mereka bersama beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Politeknik Malaysia dan juga UTeM.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Goh Ong Sing berkata, perniagaan yang ditubuhkan bukan saja membolehkan perkongsian pengetahuan.

Malah, ianya sebagai penyumbang kemahiran dalam sektor teknologi maklumat serta memenuhi keperluan organisasi dalam dan luar negara yang ingin mengembangkan pembangunan perisian.

Ujarnya, menerusi latihan berkaitan teknologi ditawarkan syarikat mahasiswa tersebut, aspek itu juga dijangka membantu memartabatkan kerancakan IR 4.0 seiring seruan Pro Canselor UTeM, Datuk Wira Ismail Saleh ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTeM, baru-baru ini.

Mahasiswa UTeM sentiasa didedah kepada program keusahawanan dalam memangkin pembangunan ekonomi negara bagi meningkatkan daya saing sesebuah negara menerusi aktiviti inovasi, kreativiti dan keusahawanan.

Pelbagai langkah telah diatur UTeM menerusi program-program anjuran Centre for Enterprise and Technopreneurship Development (CREATE).

Ia seperti program pembudayaan dan kesedaran keusahawanan bagi menarik minat pelajar untuk turut serta dalam mempelopori bidang keusahawanan.

Katanya, ia juga dapat dilihat menerusi kejayaan dua lagi siswa UTeM, Nursyasya Afina Suhaimi, pelajar Tahun 4 dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dalam perniagaan salonnya.

Sementara seorang lagi, Muhamad Amirul Azman, pelajar Tahun 3 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dengan pendapatan lumayan menerusi perniagaan percetakan t-shirt.

177 Shares
CATEGORIES